PKR JUGA BERPEGANG KEPADA DASAR MALAYSIAN MALAYSIA?

Saya berkesempatan membaca buku tulisan bekas Naib Presiden PAS merangkap bekas Yang Di-Pertua YADIM, Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, bertajuk “Meniti Hari Menuju Senja (Mengimbau Penglibatan Dalam Dakwah Dan Politik)”. Buku terbitan Global Da’wah Friendship Society yang diasaskan oleh Datuk Mohd Nakhaei Ahmad dan Allahyarham Datuk Dr Muhammad Uthman El-Muhammady ini agak menarik juga sehinggakan Ketua Pemkuda Parti Amanah Negara Terengganu, Hasbie Muda, yang terlibat dalam bidang penerbitan memujinya dengan menyebut bahawa “jika Datuk Mohd Nakhaei Ahmad (dan pihak penerbit) lebih cermat dalam urusan suntingan, karya ini pasti menjadi suatu magnum opus yang berwibawa dalam senarai rujukan pengkaji politik di negara ini”.

Telah diketahui ramai mengenai sikap kritikal beliau terhadap PAS, parti yang beliau tinggalkan untuk menyertai UMNO pada tahun 1988 dahulu. Bagaimanapun, lebih menarik lagi ialah, di dalam buku beliau itu, Datuk Mohd Nakhaei Ahmad turut mengkritik beberapa tokoh politik negara lain. Ini termasuklah kritikan keras beliau kepada Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Fahamilah dahulu situasi sebenar, wahai Mat Sabu sebelum bercakap bodoh menjadikan komunis sebagai hero dan pejuang-pejuang bangsa, dan menuduh pasukan keselamatan sebagai perkakas penjajah” (muka surat 17). Begitu juga tulisan beliau yang menyamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan Kasim Ahmad melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Suatu ketika (Dr Mahathir) memanggil aku ke pejabatnya. Beliau menyatakan keraguannya mengenai hadith-hadith yang terkandung dalam Sahih Bukhari. Kemusykilannya menyamai apa yang difahami oleh Kasim Ahmad” (muka surat 208).

Walaupun begitu, kritikan paling keras beliau di dalam buku itu ditujukan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin lain parti itu.

Kritikan Datuk Mohd Nakhaei Ahmad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula dengan pengkisahan mengenai pemilihan UMNO pada tahun 1993 yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai Team Wawasan menyapu bersih jawatan-jawatan utama di dalam UMNO. Datuk Mohd Nakhaei Ahmad mengesahkan apa yang diperkatakan oleh banyak pihak bahawa kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Team Wawasan ini adalah berpunca daripada penggunaan politik wang yang meluas. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Budaya dalam UMNO ketika aku mula menyertai parti tersebut terlalu asing bagiku. Walaupun sebelum menyertainya aku sudah mula mengetahui mengenai politik wang, tetapi tidak aku sangka ia begitu dahsyat seperti yang aku saksikan... Tetapi yang paling dahsyat yang pernah ku lihat ialah ketika kempen Team Wawasan... Team Wawasan menang. Yang ada kuasa dan banyak wang pasti akan menang. Prinsip dan kemurnian perjuangan tidak bermakna lagi. Itulah yang dapat aku lihat.” (muka surat 200)

Kritikan terhadap Parti Keadilan Rakyat ini sangat menarik kerana, mengikut Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, beliau memainkan peranan penting di dalam usaha penubuhan parti itu.

Kata Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang waktu itu berada di dalam penjara, mahukan parti baru itu bersifat parti Melayu, beliau sendiri mahukan ia menjadi parti multi-racial yang dikuasai oleh orang-orang Melayu. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Aku dan beberapa kawan yang lain berbincang apakah langkah selanjutnya bagi membela (Anwar) selain daripada pembelaan perundangan. Keputusannya ialah meneruskan perjuangan dengan membentuk wadah politik yang baru. Kami berusaha menubuhkan Parti Keadilan atau pada ketika itu diberi nama Parti Keadilan Nasional. Aku berkomunikasi dengan beliau di penjara melalui peguam. Aku masih tidak lupa Anwar mencadangkan supaya parti tersebut bersifat parti Melayu. Aku tidak bersetuju dan menyarankan supaya parti tersebut menjadi parti pelbagai kaum kerana tidak mahu berebut sokongan orang Melayu dengan PAS dan UMNO. Biarlah Parti Keadilan itu menjadi parti multi-racial yang dikuasai oleh orang-orang Melayu” (muka surat 202).

Kata Datuk Mohd Nakhaei Ahmad lagi, kejayaan penubuhan parti baru itu juga dibuat di atas usaha beliau setelah beliau teringat kepada teman beliau semasa bersama di dalam PAS, iaitu Abdul Wahab Yunus dari Terengganu yang keluar daripada PAS dan menubuh sebuah parti baru. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Dalam keadaan yang sedang dihadapi itu, tentu sahaja tidak mudah untuk menubuhkan sebuah parti politik yang baru. Hanya satu jalan sahaja yang terluang, iaitu mengambil-alih parti politik yang ada yang ditubuhkan tetapi tidak aktif. Aku teringat kepada seorang teman semasa bersama di dalam PAS, iaitu Abdul Wahab Yunus dari Terengganu yang keluar daripada PAS dan menubuh sebuah parti baru. Tugas mengambil-alih parti itu dan penukaran namanya dilakukan oleh Zulkifli Daud. Kebanyakan kerja-kerja mengambil-alih parti Abdul Wahab Yunus itu dijalankan oleh beliau sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Nasional” (muka surat 203-204).

Kritikan Datuk Mohd Nakhaei Ahmad terhadap parti baru itu bermula dengan pengkisahan mengenai penubuhannya. Sekali lagi Datuk Mohd Nakhaei Ahmad mengiyakan apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak mengenai kutipan dana dari luar negara yang tidak sampai kepada sasaran. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Aku mula mencium bau yang tidak enak ketika menjalankan usaha penubuhan Parti Keadilan itu. Ada kumpulan tertentu yang ingin memonopoli kuasa parti yang baru ditubuhkan itu di tangan kumpulan mereka. Bahkan aku dimaklumkan ada pihak yang terbang ke luar negara mengutip derma untuk membiayai pembelaan ke atas Anwar dan wang yang dikutip itu entah ke mana. Aku mula tawar hati dengan perkembangan itu” (muka surat 204).

Lebih serius lagi ialah apabila Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, yang diketahui pernah rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ABIM, kemudiannya menulis pula mengenai keraguan beliau sendiri terhadap peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan menjadi salah satu punca mengapa beliau tawar hati terhadap parti baru itu. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Aku mula tawar hati bukan sahaja kerana perkembangan tidak sihat yang berlaku di kalangan mereka yang mengambil kesempatan daripada pergolakan yang berlaku. Lebih daripada itu, aku mula didedahkan dengan penjelasan mengapa sebenarnya Anwar dipecat. Atas arahan daripada Tun Dr Mahathir, aku menemui beliau di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Walaupun aku menyatakan kepada Tun pada waktu itu bahawa aku tidak tahu-menahu mengenai skandal seks yang melibatkan Anwar Ibrahim dan tidak mempunyai pendirian apa pun terhadap tuduhan itu kerana aku tidak memiliki bukti, namun perjumpaan itu mendorong aku untuk mengetahui lebih jelas mengenainya. Aku mula menyelidiki dan menemui pihak-pihak yang mungkin mengetahui mengenai isu ini. Setelah banyak bertanya dan menyelidiki perkara tersebut, aku mula merasai bahawa sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Tidak mungkin orang-orang yang menceritakan kepada aku mengenai perkara itu berpakat menceritakan perkara yang sama. Terutama setelah menemui Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang memaparkan senario yang mencurigakan di pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang perkhidmatannya di sana” (muka surat 204-205).

Paling mengejutkan ialah apabila Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, yang mengaku terlibat secara langsung di dalam penubuhan Parti Keadilan Nasional, yang kemudiannya diubah menjadi Parti Keadilan Rakyat, turut mengkritik keras dasar Parti Keadilan Rakyat sekarang, kerana parti ini dikatakan turut berpegang kepada konsep Malaysian Malaysia yang menjadi pegangan DAP selama ini. Ini dapat dilihat melalui tulisan beliau yang berbunyi: “Sikap pemimpin PKR tidak perlu dinyatakan lagi. Parti itu bukan parti orang-orang Melayu dan Islam. Dasarnya tentang agama Islam dan Melayu sama sahaja dengan DAP, iaitu berdasarkan konsep Malaysian Malaysia. Mereka menuntut persamaan hak bagi semua kaum yang menjadi rakyat negara ini. Masyarakat India menggantung harapan tinggi kepada PKR untuk memberi kebebasan kepada mereka membina kuil dan menyamakan kedudukan kuil-kuil mereka dengan masjid dan status agama Hindu dengan Islam” (muka surat 317).

Saya boleh bersetuju dengan Hasbie Muda bahawa buku tulisan Datuk Mohd Nakhaei Ahmad ini “berjaya memperkenalkan sosok perwatakan dan pemikiran Nakhaie kepada khalayak dengan lebih terperinci dan mendalam”. Buku ini patut dimiliki oleh para pengkaji politik tanah air.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana