BANYAK NAKHODA, KAPAL BURUK PAKATAN HARAPAN BAKAL TENGGELAM – SYED ALI

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat Pakatan Harapan tidak akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana tahap sokongan rakyat terhadap pakatan tersebut semakin merundum.

Rakyat katanya, sudah bosan dan meluat dengan isu-isu retorik diputar pembangkang dalam usaha menguasai Putrajaya pada PRU-14 sedangkan dalam masa yang sama kerajaan sedang bertungkus lumus berusaha meningkatkan pembangunan untuk rakyat dan negara.

Sebaliknya tegas beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi pilihan rakyat dan sekaligus menguasai Putrajaya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun pentadbiran Najib diasak dengan serangan fitnah, saya tetap berkeyakinan UMNO dan BN akan terus bertahan dan memenangi PRU-14 dengan majoriti yang meningkat,” ujarnya di dalam entri terbaharunya di blog umnobahagiancheras.blogspot.my.

Beliau menjelaskan, sokongan rakyat terhadap blok pembangkang semakin merosot berikutan kecelaruan, pertelagahan dan perebutan kerusi sesama mereka yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan.

“Soal (kecil) pembahagian kerusi pun masih gagal ditangani mereka, bergaduh sesama sendiri, bagaimana pula untuk mereka membentuk sebuah kerajaan yang mantap dan stabil serta berkeupayaan membela nasib rakyat.

“Pakatan Harapan tidak akan mampu menyaingi kesepakatan yang ada pada BN dengan parti-parti komponen berpegang teguh kepada prinsip setiakawan di samping menghormati kedudukan Najib selaku Pengerusi.

“Prinsip sedemikian itulah yang menjadi ramuan terbaik kepada BN sejak dulu hingga sekarang dengan berterusan mendapat mandat rakyat untuk memerintah negara,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan menjelaskan, rakyat termasuk bukan Melayu hanya yakin terhadap BN kerana kemampuan parti itu melaksanakan pelbagai agenda pembangunan rohani dan jasmani untuk kepentingan mereka.

Tambahnya, apabila BN sudah terbukti keberkesanannya dan UMNO pula kekal teguh sebagai pasak kekuatan komponen tersebut, sudah tentu akan mendapat kepercayaan, keyakinan dan sokongan rakyat.

“Inilah yang tidak ada kepada Pakatan Harapan, mereka berdentum seperti tong kosong, tidak ada sebarang manfaat untuk kepentingan rakyat, sekadar memuaskan nafsu politik peribadi,” tegasnya.

Menurut Syed Ali lagi, sebuah kapal apatah lagi jika yang buruk, tidak akan sampai ke daratan jika di dalamnya terlalu banyak nakhoda yang masing-masing mempunyai arah tuju berlainan.

“Bukan setakat kapal buruk itu dan nakhoda yang pasti akan tenggelam dilambung ombak, malah kesemua anak kapalnya termasuk penumpang juga akan ikut tenggelam atau kemungkinan hanyut begitu sahaja.

“Kapal buruk itu adalah Pakatan Harapan, yang banyak kepala termasuk daripada bekas pemimpin UMNO, yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menolak dakwaan pihak tertentu bahawa UMNO takut berdepan dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada PRU akan datang.

Beliau berkata, dakwaan tersebut hanyalah propaganda pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kemelut yang berlaku dalam parti itu.

UMNO katanya, tidak pernah gentar untuk berdepan dengan mana-mana tokoh sekalipun kerana prinsip perjuangannya adalah jelas dan ikhlas membela nasib rakyat.

“Bukan hari ini (PRU-14), kita pernah berdepan dengan bermacam saat getir sepertimana ketika UMNO diharamkan dan wujudnya Parti Semangat 46 dan gelombang reformasi dicetuskan oleh Anwar (Datuk Seri) Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata, ancaman gelombang itu dapat ditangani oleh UMNO dan BN dengan kekal mendapat sokongan rakyat dan memerintah sehingga sekarang kerana perjuangannya tidak pernah menyimpang daripada matlamat membela nasib rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana