Jangan menang sorak tapi kampung kita tergadai

Sudah terang lagikan bersuluh, itulah yang dapat dirumuskan terhadap Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain menjadi punca peningkatan kos sara hidup di Selangor, menurut ADUN Dengkil Shahrum Mohd Shariff, ramai yang tidak menyedari polisi kerajaan negeri yang diperkenalkan sejak 2008 sebenarnya menjerut leher rakyat negeri tersebut.

Apa tidaknya, Shahrum menjelaskan, rakyat Selangor hanya dapat melihat banyak rumah ‘mampu tengok’ sedangkan sebelum ini kerajaan negeri mendabik dada kononnya mereka telah menyediakan banyak rumah mampu milik melalui Skim Perumahan Selangorku yang indah khabar daripada rupa.

“Saya setuju degan kenyataan Isham Jalil bahawa punca kenaikan kos sara hidup ketika ini berpunca daripada dasar yang diamalkan oleh kerajaan pembangkang di Selangor dan juga Pulau Pinang.

“Mereka ini tidak membantu langsung dan asyik menunding jari menyalahkan kepada Kerajaan Persekutuan apabila berlaku harga barang naik, harga minyak naik, perlaksanaan GST dan sebagainya, tetapi pada masa yang sama mereka penyumbang terbesar menyebabkan kenaikan kos sara hidup ini.

“Tak perlu lihat kepada Pulau Pinang lah, di Selangor sahaja paling ketara ialah isu kenaikan harga perumahan dan pembangunan hartanah yang tinggi telah berlaku sejak pakatan pembangkang menguasai tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada 2008,” katanya kepada BNBBC.my portal, pada Selasa.

Reaksi Shahrum itu adalah merujuk kepada kenyataan Pegawai Khas Perdana Menteri Isham Jalil bahawa punca kenaikan kos sara hidup mendadak adalah disebabkan polisi yang diamalkan pembangkang yang berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang.

Jelas beliau lebih lanjut, sistem premium tanah yang tinggi telah menyaksikan kegagalan pembinaan rumah mampu milik di Selangor.

“Sejak 2008 Kerajaan Selangor memperkenalkan sistem ini, yang mana ianya hampir sama dengan harga jualan tanah di pasaran. Ini menyebabkan pemaju yang membina rumah tidak mampu juga untuk membina rumah-rumah mampu milik.

“Ini terbukti dengan kegagalan-kegagalan beberapa pemaju projek Perumahan Selangorku yang ingkar untuk membuat rumah Selangorku, mereka ingkar dengan arahan ini sebab dikenakan cukai yang terlalu tinggi, premium tinggi dan caj-caj lain kepada mereka,” katanya lagi.

Lebih menyedihkan, rumah mampu milik yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Selangor tidak dibina, malah rumah mahal dan mewah lebih banyak dibina di negeri tersebut.

“Sepatutnya kerajaan negeri meminta mereka membuat rumah Selangorku mampu milik, tetapi ramai pemaju yang tidak mengikuti arahan ini lalu mereka terus membina rumah-rumah yang mahal dan hanya mampu dilihat sahaja oleh kebanyakan rakyat Selangor.

“Inilah terjadi apabila cukai premium tinggi yang dikenakan kepada pemaju, mereka ingkar dan inilah terjadi kerana semata-semata hendak dapatkan pulangan keuntungan yang segera.

“20,000 rumah Selangorku yang disasarkan siap dibina pada tahun 2018, tetapi hanya mampu kurang daripada 3,000 rumah tersebut berjaya dibina. Polisi dan sistem yang diamalkan kerajaan negeri inilah yang menyebabkan pemaju ingkar. Yang rugi ialah rakyat Selangor kerana penyediaan rumah mampu milik terbantut,” tegasnya.

Walaupun Kerajaan Selangor bangga dengan hasil pendapatan negeri yang lumayan, tetapi mereka jangan lupa untuk memperdulikan kepentingan rakyat negeri ini dan tidak terlalu bergantung dengan kutipan cukai premium tanah tinggi semata-mata.

“Contoh paling ketara ialah pembinaan balai bomba di Setia Alam yang sehingga kini tidak dapat dibina apabila cukai premium tanah dikenakan amat tinggi iaitu RM4 juta berbanding kos pembinaannya iaitu RM3 juta.

“Tanah itu bukan kepunyaan kerajaan negeri pun, ianya telah diwartakan oleh pemaju di situ untuk dibina BPP. Tapi itulah terjadi apabila kerajaan negeri tidak memperdulikan kepentingan rakyat dan sanggup mengenakan cukai premium tinggi yang melebihi kos sebenar pembinaannya

“Amat malang bagi rakyat Selangor jika inilah polisi yang diamalkan oleh kerajaan negeri. Kita bangga hasil pendapatan Selangor meningkat tetapi pada masa yang sama tidak sedar bahawa banyak kerugian yang dialami oleh rakyat negeri ini. Janganlah nanti kita hanya menang bersorak tapi kampung kita tergadai,” ujar Shahrum.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana