Tindakan GERAKAN saman Guan Eng mendapat sokongan...

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyokong tindakan GERAKAN memfailkan saman fitnah terhadap Lim Guan Eng mengenai dakwaan kerajaan BN Pulau Pinang dulu menjual tanah pada harga RM1 sekaki persegi.

“Saya menyokong tindakan Gerakan yang mengambil inisiatif memfailkan saman fitnah terhadap Lim Guan Eng atas dakwaan berulang kali DAP kononnya kerajaan BN Pulau Pinang yang lalu telah menjual tanah pada harga RM1 sekaki persegi.

“DAP adalah pakar putarbelit dan propaganda. Mereka tidak akan teragak-agak untuk mengulangi sesuatu yang tidak benar untuk mengelirukan pengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Rahman lagi kerajaan DAP Pulau Pinang juga terbukti sebuah kerajaan yang penuh dengan lakonan apabila prinsip yang dilaungkan sama sekali terpesong dengan amalan mereka kononnya kerajaan DAP Pulau Pinang berjaya mengurangkan hutang negeri sehingga 95 peratus ekoran usaha cekap, amanah dan telus (CAT) mereka.

“DAP juga berterusan mendakwa kerajaan Persekutuan tidak membantu secara kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kedua-duanya adalah pembohongan dan perlu diperbetulkan. Hakikat sebenar adalah, 95 peratus pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang direalisasikan kerajaan persekutuan melalui penstrukturan perjanjian air pada 2011.

“Kerajaan persekutuan bersetuju mengubah hutang sedia ada kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM655.24 juta kepada bayaran ansuran RM14.56 juta setahun selama 45 tahun,” katanya lagi.

Tambah beliau melalui perjanjian yang sama, kerajaan persekutuan turut bersetuju untuk memberikan geran berjumlah RM1.2 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memperbesarkan empangan Mengkuang, di sebalik fitnah DAP kononnya kerajaan persekutuan tidak membantu Pulau Pinang.

Sebahagian besar dari jumlah dana itu sudah pun disalurkan.

“Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap negeri ditadbir pembangkang dan sudah menandatangani perjanjian penstrukturan air yang sama.

“Selangor turut mendapat manfaat RM9.7 bilion dari pakej bantuan kewangan kerajaan persekutuan yang ditandatangani pada 2015 manakala Kelantan menerima bantuan kewangan yang serupa pada 2016.

“Bagaimanapun, hanya Kerajaan Pulau Pinang sahaja yang menggunakan bantuan kerajaan persekutuan untuk berbohong kepada rakyat,” katanya.

Menurut Rahman, pada ketika negeri lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau memperdaya rakyat, hanya kerajaan Pulau Pinang menyalahgunakan niat baik dan bantuan kerajaan Persekutuan untuk meraih nama dan memperdaya rakyat.

“Kerajaan persekutuan akan terus mengotakan janji untuk membantu semua negeri dan tidak akan berganjak sehingga menggugat penstrukturan air di negeri-negeri.

“Bagaimanapun, jika kerajaan DAP Pulau Pinang masih lagi mahu mendakwa ia adalah usaha mereka dalam pengurangan hutang negeri dan menuduh kerajaan Persekutuan tidak membantu Pulau Pinang, mereka seharusnya meminta kerajaan persekutuan membatalkan perjanjian penstrukturan air 2011 agar dapat berlaku jujur kepada diri mereka sendiri dan rakyat,” katanya.

Tambah Rahman, Kerajaan Pulau Pinang juga boleh memperolehi semula hutang RM655 juta untuk ditanggung kerajaan negeri dan membayar semula geran RM1.2 bilion kepada kerajaan persekutuan.

“Biarpun dengan berbuat demikian hutang kerajaan Pulau Pinang tidak lagi sebagaimana didakwa turun 95 peratus dan terendah di Malaysia malah meningkat tiga kali ganda, sekurang-kurangnya kerajaan Pulau Pinang berpeluang untuk berlaku jujur kepada diri mereka sendiri.

“Atau, DAP perlu berhenti membuat dakwaan terhadap pengurangan hutang negeri dan memohon maaf kepada rakyat kerana selama enam tahun mengulangi pembohongan ini,” ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana