Seorang lagi ahli PPBM dakwa 'orang dalam' dalang kekecohan Nothing To Hide 2.0

KUALA LUMPUR: Selepas dua hari, seorang lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tampil membuat pendedahan bahawa kekecohan sewaktu program Nothing To Hide 2.0 didalangi 'orang dalam' dalam usaha menghentikan pertanyaan hadirin.

Mohamad Taufik Abas berkata, beliau yakin pihak tertentu sememangnya mensasarkan dirinya susulan mengemukakan pertanyaan mengenai tragedi Memali kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Masa saya bertanya tentang Memali, Tun jawab, dan bila saya nak tanya kali kedua, kerusi dah melayang hampir dengan saya. Kemudian mereka kata perbuatan dirancang untuk cederakan Tun sedangkan dalam video, punyalah (balingan kerusi) jauh dari Tun.

"Kalau ikut logik, kalau (betul) nak cederakan Tun, dia (penyerang) mesti duduk di barisan depan. (Tapi) kenapa nak baling dari belakang.

"Ada urusetia baling dari atas.. ini perbuatan keganasan. Tak ada kena mengena dengan Tun. Kerusi itu dihala kepada orang yang nak bertanya," katanya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Rabu lalu, Pengarah Logistik Dan Gerak Gempur Keselamatan PPBM bahagian Shah Alam, Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin mendakwa kekecohan itu sengaja dicetuskan 'orang dalam' untuk menghalangnya daripada bertanyakan soalan kepada Dr Mahathir.

Dakwaan itu tangkas disangkal Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Syed Saddiq, kekecohan tercetus hasil provokasi pihak tertentu yang menyelinap masuk ke majlis berkenaan.

Dalam pada itu Taufik menegaskan, selaku penganjur, Armada perlu mengambil tanggungjawab atas inisiden kekecohan pada program anjurannya Ahad lalu.

"Saya minta polis ambil tindakan kepada penganjur kerana gagal.. kononnya sekuriti bertaraf ala Obama nak datang Malaysia tapi suar boleh masuk, lepas itu nak salahkan orang sedangkan ini program anda," kata beliau.

Mengulas lebih lanjut tindakannya yang mengemukakan soalan berkaitan tragedi Memali, Taufik berkata ia bagi merungkai kisah sebenar di sebalik peristiwa berdarah itu.

"Saya bertanya tentang Memali sebab saya tak lahir lagi dan saya tak tahu apa yang berlaku. Saya kurang jelas tentang ini seolah-olah ada perkara diselindungkan.

"Kita tak dapat alternatif tentang apa yang berlaku dalam kejadian Memali. Saya cuma memperjuangkan mereka ini, kalau mereka penjenayah, ta apa. Kalau bukan? 14 orang itu mati macam tu saja sedangkan orang yang buat boleh lepas tangan.

"Jadi saya tanya pada orang yang bertanggungjawab. Tun M perdana menteri waktu itu. Tapi mereka dolak dalik. Di situ ada kepincangan. Tapi kerusi pula melayang. Ini sejarah yang telah digelapkan bagi saya," katanya.

Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.

Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama itu dan empat anggota polis, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Tambah Taufik, beliau akan terus membangkitkan isu berkenaan selagi tiada jawapan jelas mengenai insiden berkenaan, selain bersuara mengenai apa jua kepincangan yang melatari pembangkang.

"Saya tak nak Pakatan Harapan jadi parti mesin basuh. Ini parti mesin basuh, siapa-siapa yang masuk, ada kesalahan jenayah atau rasuah, automatik masuk terus jadi suci. Sampai bila-bila akan berulang selagi tak ubah," ujar beliau lagi.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana