Pandangan baharu isu ‘Bin Abdullah’ boleh menjurus kepada halalkan zina – Harussani

KUALA LUMPUR – Di sebalik pertikaian banyak pihak atas penggunaan ‘Bin Abdullah’, Mufti Perak berkata, pandangan baharu terhadap isu ini boleh menjurus kepada menghalalkan zina pada masa akan datang.

Katanya, masyarakat di negara ini tidak harus mempertikaikan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu.

Ini kerana katanya, keputusan itu jelas membelakangkannya Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

“Pendapat baharu menjurus kepada menghalalkan zina, pendapat Mufti Perlis ini menghalalkan zina, benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama. Kenapa kita nak melawan hadis?,” soal Harussani.

Mufti Perak itu berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu program perasmian Residensi RAH di Kampung Baru oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Pada Sabtu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr. Maza menyifatkan Jabatan Pendaftaran Negara bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam sebagai satu langkah ‘tidak menghukum anak yang tidak bersalah’.

Justeru katanya, keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan penggunaan nama bapa bagi kanak-kanak tidak sah taraf juga akan menutup keaiban dan memberi peluang insan bertaubat.

“Jadi saya harap ulama-ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah Ijmak yang telah dibuat berkurun lamanya, beratus-ratus​ tahun, ribu tahun, dulu orang buat hukum bukan sebarangan tapi berasaskan Al-Quran dan Hadis, Ijmak dan jugak kajian,” kata Harussani menjawab kepada kenyataan Dr. Maza.

Oleh itu, Harussani menasihatkan sesiapa sahaja di negara ini agar terus berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak terpedaya dengan mana-mana perundangan selain undang-undang berkaitan Islam.

“Ikutlah pada islam, apa yang berlaku itu lihatlah kepada undang-undang Islam bukan undang-undang sivil, atau undang-undang England yang sudah lapuk,” katanya. -MalaysiaGazette.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment