‘Dia’ sudah tidak relevan lagi dalam politik negara – TPM

BANDAR BAHARU 18 Ogos – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pembabitan bekas pemimpin negara yang kini bersekongkol de­ngan Pakatan Harapan dike­tuai DAP sudah tidak relevan dalam politik tempatan.

Tanpa menyebut nama, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kini bekas pemimpin negara itu menjadi peneraju utama untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita sering diserang. Kita tahu bekas pemimpin kita dahulu menjadi peneraju utama yang sering menyerang kita. Allah takdirkan seseorang itu tidak bersama kita lagi walaupun kita pernah menaikkan orang itu.

“Tugas dan tanggungjawab kita sekarang adalah menentang dan memberitahu (rakyat) bahawa orang itu sudah tidak relevan lagi dalam politik di Malaysia. Kita mesti bangun untuk menunjukkan UMNO dan BN masih diperlukan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat khususnya ahli UMNO supaya tidak membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersendirian dalam menghadapi tohmahan yang dilemparkan pembangkang.

“Perdana Menteri telah melakukan pelbagai inisiatif dalam pelbagai bidang tetapi apa yang dilakukan beliau dinafikan pembangkang.

“Jangan biarkan Perdana Menteri berseorangan. Kita perlu bangun dan tentukan apa yang dilakukan Perdana Menteri selama ini adalah demi kebaikan rakyat dan ahli UMNO di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengalu-alukan mana-mana tokoh yang kini berada dalam Pakatan Harapan untuk kembali bersama BN khususnya UMNO.

“Kalau ada tokoh dalam kalangan pembangkang yang merasakan mereka menjadi kuda tunggangan, buatlah keputusan dan kembali semula kepada kita. Kita sedia terima sesiapa sahaja yang boleh bantu kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM500,000 untuk kerja-kerja awal pembinaan semula Maktab Mahmud Bandar Baharu bersebelah Masjid Al-Fateh, Bandar Baharu di sini.

Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukkan RM10,000 untuk pemasangan pendingin hawa dan membaiki tandas Dewan Sri Serdang di sini.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL