DAP tersisih, semakin ditolak kaum Cina...

Baru-baru ini seorang wakil rakyat DAP Johor telah menulis di dalam rencananya di RoketKini menyatakan bahawa hasil tinjauan mereka daripada Konvensyen BN yang baharu sahaja diadakan membuktikan bahawa BN Johor semakin goyah dan berada di dalam keadaan cemas menghadapi PRU-14 yang bakal menjelang.

Di antara hujah-hujah yang dilontarkan oleh Yang Berhormat Liew Chin Tong adalah kerjasama erat yang berlaku di antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim telah melonjakkan sokongan rakyat khasnya di Johor ini kepada Pakatan Harapan (PH).

Selain daripada itu, teguran dan mesej yang jelas dari Yang Amat Berhormat Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Johor dan Menteri Besar Johor agar BN tidak memandang enteng dan pertempuran sengit bakal berlaku, sebagai tanda bahawa kedudukan BN di Johor bukan lagi sebagai kubu kuat parti itu.

Natijahnya, kata Liew, BN akan tewas beberapa kerusi dan akhirnya PH bakal menakluk Putrajaya dan BN akan tersungkur pada PRU nanti.

Terima kasih saya ucapkan kepada Liew kerana berjaya memberikan komen dan pandangan yang menarik di samping membakar semangat kami Pemuda Umno Johor. Bagi kami, ingatan yang telah di sampaikan oleh Khaled amat tepat.

Walaupun umumnya mengetahui bahawa Anwar telah memberikan persetujuan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir demi survival politik mereka berdua, kami yakin kerjasama mereka berdua adalah lebih kita sifatkan sebagai “marriage of convenience”.

Kami tidak gentar dan gusar dengan pelbagai pakatan yang Anwar dan Mahathir. Kami yakin bahawa rakyat akan lebih dapat menilai politik rakus Mahathir dan Anwar pernah maklumkan kepada rakyat di dalam setiap ceramah reformasinya.

Ya, analogi yang telah disampaikan oleh Khaled tentang Mahathir sememangnya tepat sekali. Bagi kami para Pemuda Umno, Mahathir bagaikan ubat yang telah tamat tempohnya. Suatu ungkapan yang pernah dinyatakan dan diberikan oleh mendiang Karpal Singh terhadap Mahathir.

Bukan kami tidak mengenang jasa Mahathir. Namun pada kami, Mahathir umpama kuda lumba yang tidak diperlukan lagi oleh Umno, khasnya dan negara amnya. Liew, zaman telah berubah dan Mahathir sendiri telah pun melalui era kegemilangannya.

Namun juga sejarah tidak boleh menipu apabila apa yang dilakukan oleh Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri adalah untuk kepentingan diri sendiri dan beliau adalah punca segala masalah yang sedang dihadapi oleh negara hari ini.

Mahathirlah yang telah meranapkan dan hampir-hampir membangkrapkan negara Malaysia apabila segala dasar-dasarnya lebih membawa keuntungan kepada kaum kerabat serta kroni-kroninya.

Mahathir amat bertuah kerana Malaysia di kala itu adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil buminya dan atas sebab itu jualah, maka ekonomi Malaysia tetap stabil dan tidak mengalami kemerosotan seperti yang berlaku di beberapa negara lain di dunia.

Pada kami, sememangnya kami tidak lagi mahu Mahathir kerana beliau telah melakukan pelbagai kerosakan di zaman beliau berkuasa. Bukan cakap kami, Liew boleh dapatkan maklumat ini sendiri daripada Mat Sabu, Rafizi Ramli dan Anwar sendiri!

Ingat tak Liew tentang pesanan seorang ulama Malaysia dan juga merupakan pemimpin parti Islam yang sebelum beliau meninggal dunia, sempat berdoa agar Allah memanjangkan umur Mahathir agar dia dapat melihat segala kerosakkan yang telah beliau lakukan.

Alhamdulillah, Allah telah perkenankan doa seorang alim dan umara’ yang berjuang untuk rakyat dengan penuh keikhlasan. Liew, selamat menerima Mahathir dan semoga DAP dan juga PH akan terus kelam dan tenggelam bersama manusia bersama Mahathir.

Jika Liew rajin membaca laporan ekonomi negara yang diibaratkannya sebagai propaganda, laporan IMF dan Bank Dunia amat jelas menyatakan bahawa ekonomi Malaysia semakin stabil di samping kepimpinan dan pendekatan bijak Najib Razak berjaya membawa Malaysia keluar dari kemelut dan kemelesetan serta kelembapan ekonomi dunia.

Ekonomi Malaysia diunjurkan IMF dan Bank Dunia untuk berkembang sebanyak 5.6% tahun depan. Unjuran yang dibuat Maurice Obsfeld, Ketua Ekonomi dan Pengarah Penyelidikan IMF. Rasanya ilmu dan kewibaan Maurice Obsfeld itu jauh lebih tinggi daripada Liew yang hanya mendapat dan menyandarkan laporan daripada sifunya Lim Kit Siang semata-mata.

Kalau Ahmad Zahid Hamidi kini cuba dikaitkan dengan isu keturunan Mahathir, sayugia saya ingin perjelaskan di sini bahawa apa yang dinyatakan oleh Zahid sebenarnya adalah sekadar melaungkan ungkapan dan penghinaan yang pernah dilakukan oleh Anwar Ibrahim, Mat Sabu serta barisan kepimpinan pembangkang suatu ketika dahulu. Ironikan Liew?

Tokong Lim dan kuncu-kuncunya menghina Mahathir sejak dahulu lagi, terutamanya Anwar dan Mat Sabu, namun secara tiba-tiba DAP dan PKR begitu mempertahankan isu siapa Mahathir dan asal keturunan Mahathir.

Tak cukup dengan itu, memberikan sepenuh kepercayaan bahawa Mahathirlah yang akan menyelamatkan Malaysia dan PH? Hanya orang yang tidak siuman yang mempunyai kepercayaan dan harapan sebegini.

Mohon Liew dan sahabatnya, Akmal Nasir gunakan carian “youtube” dan anda berdua pastinya akan terkejut dengan cercaan dan penghinaan yang Mahathir terima dari kepimpinan utama PKR, DAP dan Amanah itu sendiri. Jangan hanya tahu berkata-kata tetapi tidak tahu apa yang diperkatakan.

Kerajaan Umno/BN Johor telus lagi berani berbanding kerajaan PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang. Johor pimpinan Khaled telah menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah di kalangan anggota kerajaan negeri.

Tertangkapnya bekas exco kerajaan Johor amat jelas membuktikan sifat dan tanggungjawab Johor berbanding dengan kedua-dua kerajaan DAP dan PKR naugan Liew dan Akmal.

Jangan kata nak tandatangan akujanji integriti membanteras rasuah, malah bukan main menjadi-jadi rasuah dan penyelewengan di Pulau Pinang dan Selangor. Isu banglo, cukup jelas! Tetapi yang disalahkan adalah BN dan Umno? Dia yang mencuri, orang lain pula yang dipersalahkan.

Kutipan wang zakat pun habis disapu dan diselewengkan di Pulau Pinang. Itu belum cerita lagi menyentuh kisah terowong dan laluan basikal di Penang yang amat memalukan. Beratus juta wang rakyat dihabiskan. Tetapi Liew dan Akmal membisu seribu bahasa!

Akmal, jadilah anak jantan tulen. Bangsa saudara sendiri di Pulau Pinang dihalau umpama anjing, namun saudara diam. Kepada BN jua yang mereka mohon bantuan.

Liew, masyarakat Cina pun dah tahu tokong penipu dan perompak terbesar. Hasil kerajaan negeri umpama piggy bank tokong dan dinasti Lim, kenapa Liew diam?

Rakyat semakin menyampah dengan politik pembohongan DAP. Pada pilihanraya-pilihanraya lepas, DAP sememangnya suka mempermainkan isu-isu perkauman dan yang paling ketara, menuduh pemimpin Melayu Umno dan BN sebagai korup dan DAP adalah parti yang bersih.

Liew kena rajin membaca. Apa jadi dengan CAT di Pulau Pinang? Tinggal slogan semata-mata? Duit habis berjuta-juta tapi terowong tidak wujud? Mana ada negeri dan negara yang nak buat terowong habis duit rakyat dengan kajian? Banglo murah sebab tiada kolam renang? Kos nak buat lebuh raya lebih mahal?

Berapa banyak orang Melayu di Penang telah kehilangan tempat tinggal apabila tanah yang mereka duduk lebih dari 50 tahun dirampas oleh kerajaan Tokong Lim? Kita juga tentu tidak akan lupa bagaimana Adun Penanti menangis kerana tiada peruntukan yang Tokong Lim salurkan disebabkan ramai pengundi di Penanti. Jika Karpal Singh masih hidup, saya rasa dia pun akan buat parti baru yang lebih demokratik daripada DAP.

Melayu mudah lupa, kata Mahathir. Tetapi orang-orang melayu sudah bosan dan tidak akan lupa bagaimana Mahathir telah menipu rakyat atas nama pembangunan dan kemajuan. Orang cina pun tidak akan lupa yang Tokong Lim pun sudah macam Mahathir. Sudah pandai dan tipu orang cina.

Umno dan rakan-rakan dalam BN pun tidak pernah lenyapkan kampung orang-orang Cina dan India. Tapi tokong Lim dan DAP sudah buat itu semua. Penang adalah “a fail state!” Sebuah kerajaan yang gagal!

Untuk Liew, kami sememangnya mahukan DAP mengambil Mahathir sebab kami mahu rakyat tahu, orang yang bernama Mahathir adalah seorang pemimpin yang telah banyak membuat kerosakan dan kemusnahan dalam pelbagai perkara. Untuk Liew, “have fun with Mahathir” and “All the best to you”.

“Honestly, we are better off without him!” Kami tidak ada masa untuk melayan segala macam tohmahan dari Liew ataupun rakan-rakan Liew kerana agenda membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat adalah agenda utama kami.

Saya mohon Liew tolong ajar Tokong Lim tentang permainan wayang opera dan sandiwara Cina yang disutradarakan oleh tokong Lim Kit Siang dan Guan Eng serta Betty sebagai sebagai pelakon-pelakonnya.

Pesanan saya buat Akmal dan Liew, rumah kamu dah nak runtuh, jangan berlagak pandai nak menegur rumah kami yang tersergam indah dan kukuh, sekalipun hiasan luarannya tidak begitu menarik pada mata Liew dan Akmal.-4/8/2017

Azman Jaafar merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment