Pengkhianatan... - Awang Selatan

Sejarah silam mahupun sejarah baharu, ia bukan harus dibiar berlalu begitu sahaja tanpa dikaji dan dijadikan iktibar.

Bangsa dan tamadun yang tidak belajar daripada sejarah pasti menempah kegagalan yang dahsyat padahnya.

Awang tidak mahu mengimbas sejarah kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam ketika era kegemilangan tamadun Islam kerana ia sudah terlalu lama. Begitu juga tumbangnya empayar Kesultanan Melaka angkara pengkhianatan Si Kitul.

Cukup sekadar merenung apa yang terjadi tidak sampai dua dekad kebelakangan ini. Bagaimana satu persatu negara Islam tumbang akibat percaturan campur tangan kuasa besar.

Negara-negara yang suatu ketika makmur dan teguh seperti Iraq, Libya, Mesir dan Syria akhirnya musnah dan kini terus bergolak bagaikan berundur ke belakang.

Arab Spring tajaan Barat yang kononnya cetusan kebangkitan demokrasi rakyat kini menjadi jenama yang paling kotor dan bahaya setelah apa yang menimpa Mesir dan Tunisia.

Paling menyedihkan nasib rakyat Iraq apabila rejim Saddam Hussein digulingkan dengan alasan negara itu memiliki senjata pemusnah besar-besaran tetapi ternyata semua itu tidak benar dan sekadar muslihat.

Setelah Baghdad musnah teruk dan ramai terkorban dalam serangan bermula 20 Mac 2003, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa negara itu tiada senjata pemusnah besar besaran.

Ada beberapa lagi pendedahan antaranya oleh ejen CIA, John Nixon iaitu orang yang bertanggungjawab menyoal siasat Saddam (Debriefing The Presiden: The Interrogation Of Saddam Hussein) - rumusannya tiada senjata tersebut.

Turut mengejutkan adalah laporan hasil siasatan diplomat kanan Britain, Craig Murray yang menyifatkan kerajaan negaranya berbohong apabila bersubahat dengan AS menyerang Iraq.

Disebalik tindakan tidak berperikemanusiaan, AS tidak memohon maaf malah keganasan di Iraq berterusan serta rakyatnya merana, berbeza ketika era Saddam. Bukan sahaja membabitkan pencerobohan ketenteraan malah ekonomi dan politik turut dijadikan senjata pencerobohan. Sudah sekian banyak bukti dan petunjuk. Salah satu adalah menerusi autobiografi Confessions of an Economic Hitman oleh John Perkins terbitan 2004 (versi baharu 2016).

Pendedahan yang mengejutkan itu membuktikan isu ekonomi, pinjaman dan pelaburan boleh menjadi senjata mencabul kedaulatan negara membangun. Institusi demokrasi negara berkenaan dilemahkan dalam pelbagai muslihat dan tipu helah.

Apa yang menimpa Iraq dan beberapa lagi negara Arab adalah pengajaran yang sangat bernilai. Relakah kita pula masuk perangkap agenda asing yang mahu merobek kedaulatan negara angkara si kitul moden?


PENGKHIANATAN 2

Dalam soal menolak campur tangan asing berhubung isu 1MDB, pendirian Pas terutama Presidennya, Hadi Awang cukup konsisten.

Awang tabik dengan ketegasan Hadi termasuk dalam serangan kedua isu saman sivil 1MDB yang dikitar semula oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dengan bantuan pihak tertentu di Malaysia yang bermotif politik.

Begitu juga dengan seruan lantang pelbagai pihak termasuk Mufti Perak, Harussani Zakaria; Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman; Mufti Negeri Sembilan, Mohd. Yusof Ahmad; Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri; Mufti Kedah, Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dan Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil membantah campur tangan asing walau apa pun alasannya.

Sebagaimana ketika serangan pertama isu DoJ dilancarkan pada tahun lalu, rakyat dan pelbagai pihak di negara ini sekali lagi bersatu menentang DoJ.

Awang yakin sebarang komplot mengheret campur tangan asing bagi menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi tidak akan berjaya.

Lihatlah apa yang berlaku di Turki pada Julai 2016 apabila cubaan rampasan kuasa tentera yang didorong kuasa asing gagal malah rakyat bangkit mempertahankan pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan. Di Filipina, sentimen anti-AS melonjak dengan rakyat memperhebatkan sokongan ke atas Presidennya, Rodrigo Duterte.

Ini ekoran tekanan Washington ke atas Duterte yang melaksanakan dasar keras terhadap penjenayah dan pengedar dadah bagi menangani kedua-dua ancaman kritikal itu. Dr. Mahathir Mohamad sendiri menerima sokongan rakyat yang menolak tekanan asing ketika pentadbirannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Peristiwa Naib Presiden AS, Al Gore dalam ucapannya sempena sidang APEC pada November 1998 di Kuala Lumpur, menghasut rakyat bangkit menjatuhkan kerajaan Malaysia kerana menyokong Anwar Ibrahim, tentu masih diingati Dr. Mahathir. AS mendakwa kepimpinan Dr. Mahathir zalim dan rakyat ditindas ekoran Anwar merayu bantuan Barat selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Agenda untuk campur tangan ini tidak pernah berhenti dan menyedihkan kali ini Dr. Mahathir dan sekutunya pula mengundang pihak AS menggunakan isu DoJ. Siapa sebenarnya yang mudah lupa dan melanggar prinsip kedaulatan.


Dalam konteks Malaysia, isu DoJ, adalah muslihat bagi campur tangan asing selepas kegagalan beberapa siri perhimpuan Bersih ala Arab Spring. Awang percaya himpunan isu DoJ- 1MDB yang dirancang oleh Pakatan Harapan diketuai DAP bermula Julai ini, tidak akan mendapat sokongan rakyat  yang bosan dengan himpunan jalanan. Malah Awang lihat ia akan menjadi senjata makan tuan kepada Pakatan Harapan yang bersekongkol dengan kuasa asing.

Himpunan itu yang menjadi medan proksi kuasa asing akan menjadi petanda buruk buat Pakatan Harapan pada PRU-14 nanti. Sudahlah sebelum ini pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan melakukan sabotaj ekonomi bagi menghalang pelaburan-pelaburan besar masuk dan melemahkan nilai mata wang ringgit. Persoalannya, siapakah yang lebih menggunakan siapa - DoJ atau Pakatan Harapan?

Apa sekalipun percaturan politik, serahlah sahaja penentuan kepada rakyat negara ini, bukannya pihak asing yang sememangnya menunggu masa menggugat Malaysia yang berdaulat. Awang sangat berharap pihak berkuasa tidak berlengah lagi dalam mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang menjadi tali barut kuasa asing.

Ini meliputi pemimpin Pakatan Harapan, pemimpin badan bukan kerajaan seperti Suaram dan portal berita Malaysiakini yang diketahui bersekongkol dan menerima dana asing dalam operasi mereka. Khabarnya, banyak lagi wang dana luar akan digunakan untuk mempromosi dan menganjurkan himpunan tersebut. Pada Awang, ia sudah menjadi isu ancaman keselamatan yang serius bagai bom jangka menanti ledakan sekiranya didiamkan. Jika di negara lain, pengkhianatan seumpama ini pasti mengundang hukuman amat berat.

Anehnya di Malaysia, pengkhianat bebas mengulangi pengkhianatan. Peringatan kepada pihak berkuasa kita, jangan sampai terhantuk baru terngadah atau nasi sudah menjadi bubur. Ketika itu nanti segala-galanya sudah terlewat.


DINASTI DIKTATOR?

Kuman seberang laut nampak gajah depan mata tidak nampak. Itulah sikap penasihat, Lim Kit Siang yang melakukan serangan terhadap kerajaan berhubung isu Jabatan Kehakiman AS (DoJ) - 1MDB tetapi memejamkan mata terhadap kes rasuah anaknya.

Awang nasihatkan Kit Siang melaksanakan tanggungjawab moralnya sebagai pemimpin utama DAP dan bapa agar memastikan Lim Guan Eng meletakkan jawatan ekoran kes rasuah. Semua orang tahu Guan Eng adalah ketua menteri yang gagal kerana pelbagai masalah termasuk dalam isu perumahan rakyat, banjir, ketidaktelusan, rasuah dan kos luar biasa beberapa projek mewah.

Tetapi memandangkan Dinasti Lim begitu berkuasa hampir lima dekad dengan matlamat menghalalkan cara, kediktatoran Kit Siang tidak akan merelakan anaknya hilang kuasa. Sudah puluhan pemimpin DAP yang tidak sehaluan dan mengkritik Kit Siang dan Guan Eng, disingkir dan tersingkir. Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang juga tokoh veteran berwibawa dalam parti itu kini menjadi sasaran Guan Eng dan bakal dikuburkan politiknya. Satu lagi korban... kasihan.


TANGANI SESAK

Selepas arus balik kampung berakhir dan majoriti umat Islam kembali bekerja setelah cuti Hari Raya Aidilfitri, ibu negara dan sekitarnya kembali seperti sediakala dengan jalan raya yang sesak.

Seperti saban tahun, bulan Syawal ini akan menyaksikan satu lagi arus iaitu majlis-majlis rumah terbuka. Berikutan itu, adalah dijangkakan aliran lalu lintas Lembah Klang akan mengalami kesesakan sehingga lewat malam pada hujung minggu, sebagaimana bermula semalam (Sabtu).

Awang berharap polis trafik, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi tol yang berkenaan dapat mengambil langkah-langkah tambahan menangani situasi tersebut.

Ambillah iktibar daripada suasana Syawal tahun lepas yang kelihatan pihak berkuasa kita seperti lepas tangan, sekadar memberi alasan pergerakan kenderaan yang terlalu banyak. Semoga kali ini tidak lagi begitu...kita tunggu.


TIDAK SENSITIF

Awang dapat maklum balas daripada ramai pembaca yang merungut tentang pusat-pusat membeli belah di ibu negara yang seperti sambil lewa melakukan hiasan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ini berbeza dengan hiasan yang lebih gah, kreatif dan menarik dengan bajet lebih besar bagi perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.

Hal ini sebenarnya telah Awang bangkitkan dalam ruangan ini dua tahun berturut-turut tetapi nampaknya banyak pusat membeli-beli masih gagal menjaga sensitiviti.

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan paling utama di negara ini memandangkan majoriti penduduk adalah beragama Islam. Tetapi ia tidak terzahir kerana sikap dwi standard pemilik pusat membeli belah dan hotel-hotel ternama.

Salah satu pusat membeli-belah yang menjadi perhatian ramai adalah Suria KLCC kerana asyik menggunakan konsep yang sama iaitu rumah Melayu kampung dengan hiasan yang suram. Apakah itu sahaja cerminan orang Islam dan Melayu di negara ini?

Sedangkan slogan pusat membeli-belah itu adalah Always Something New. Pada Awang, kalau sekadar itu yang disajikan, apa yang baharunya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana