Janji Pakatan mansuh GST hanya retorik - Abdul Rahman

Janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya retorik tanpa penjelasan mengenai langkah mereka bagi mengimbangi defisit belanjawan dan membiayai projek-projek kerajaan sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), berkata rakyat mahu pakatan itu menjelaskan cara untuk menutup kelompongan dalam pendapatan kerajaan.

"Cakap boleh tetapi ada lubang di situ, bagaimana mereka hendak tutup? Jadi mereka perlu jelaskan kepada rakyat,"katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), di Putrajaya Jumaat.

Abdul Rahman yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian sebagai mengulas tujuh janji Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan jika menang PRU-14, antaranya menghapuskan GST dan menstabilkan harga minyak.

Semalam Pakatan Harapan turut mengumumkan barisan kepimpinannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing dilantik sebagai Ketua Umum dan Presiden.

Mengulas mengenai kepimpinan pakatan itu yang seolah-olah diterajui tiga nakhoda, Abdul Rahman berkata mereka juga perlu membuktikan bahawa mereka mampu membuat konsensus atau pendirian rasmi mengenai isu-isu nasional sebagai sebuah parti.

Katanya sehingga kini, Pakatan Harapan masih tidak mampu untuk memberi keputusan yang tepat kepada rakyat tidak kira siapapun ketua mereka.

"Dulu zaman Dr Mahathir menjadi Presiden (UMNO) pun parti bergolak sebab nombor dua hendak lawan dia. Apatah lagi tiga nakhoda dalam satu parti politik, tidak masuk akal bagi saya.

"Yang berlaku nanti kepentingan peribadi akan mengatasi kepentingan parti dan itu akan memporak-perandakan kerajaan yang mereka akan bina dan memberi impak cukup buruk kepada rakyat dan negara," jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dilihat sering mempunyai pandangan berbeza mengenai isu-isu nasional yang menjadi kepentingan rakyat.

Mengambil contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Abdul Rahman berkata ada pemimpin mereka yang berpendapat bantuan itu perlu dimansuhkan manakala ada pula yang mengatakan ia bagus.

Beliau juga ingin mengetahui sama ada pemimpin-pemimpin pakatan itu mempunyai pendirian sama dengan Dr Mahathir yang tidak bersetuju Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata beliau gembira parti-parti pembangkang duduk dalam satu pakatan kerana beliau ingin mengetahui pendirian rasmi mereka terhadap sesuatu isu, sekali gus memudahkan BN meminta penjelasan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana