Fatwa: PAS Pulau Pinang akan serah memorandum kepada YDP Agong

KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof berkata PAS negeri konsisten meminta kerajaan negeri menarik balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita harap mereka tarik balik (pekeliling itu). Saya harap mereka memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan di Malaysia amnya kerana soal fatwa ini adalah perkara yang tidak patut campur tangan luar berlaku. Isu ini hangat diperkatakan dan sudah lama.

"PAS Pulau Pinang konsisten mendesak... sampai setakat ini tidak ada apa-apa daripada kerajaan negeri khususnya DAP untuk memohon maaf," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Markas Tarbiyyah PAS Pongsu Seribu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Shariful Azhar Othman dan ADUN Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad.

Pada 10 Feb lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pekeliling itu bercanggah dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4).

Beliau berkata enakmen berkenaan tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau perkenan MMK Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

PAS Pulau Pinang sebelum ini turut membuat laporan polis mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP berhenti mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri, termasuk membenarkan empat fatwa yang dikatakan tertangguh diwartakan segera.

Muhammad Fauzi berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan kerajaan Islam (NGI) untuk membincangkan cara dan kaedah yang sesuai bagi menyelesaikan isu itu.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata Jawatankuasa Fatwa sepatutnya menjadi sebuah badan bebas yang tidak memerlukan campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Jawatankuasa Fatwa perlu merupakan suatu platform yang bebas. Ini bersesuaian dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi apa yang dibuat (campur tangan kerajaan negeri) sedikit sebanyak seakan-akan fatwa yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa boleh dikekang oleh Exco," katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment