ADUN PKR persoal perbezaan ketara kos LRT di P. Pinang dengan MRT

PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti daripada PKR, Dr. Norlela Ariffin terus memberi tekanan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas membandingkan projek MRT Sungai Buloh-Kajang dengan projek transit aliran ringan (LRT) yang dirancang dibina kerajaan negeri.

Dalam status laman sosial Facebooknya semalam, Dr. Norlela mempertikai kos projek LRT sepanjang 30 kilometer (KM) di negeri ini yang menelan kos lebih tinggi berbanding projek MRT yang lebih panjang iaitu sejauh 51km.

Menurut beliau, laluan MRT yang turut mempunyai lebih banyak stesen berjaya disiapkan dengan kos hanya RM21 bilion iaitu jauh lebih rendah daripada projek LRT yang dicadangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dijangka menelan kos RM27 bilion.

“Saya akan tanya kenapa Pulau Pinang tidak boleh membangunkan MRT? Kenapa LRT menelan kos RM27 bilion tetapi MRT ini, dari Kajang ke Sungai Buloh, hanya menelan kos RM21 bilion untuk 51 km, 31 stesen, tujuh stesen pertukaran dan tujuh stesen bawah tanah.

“Bagaimana kos MRT ini boleh menjadi lebih murah (berbanding rancangan projek LRT kerajaan negeri)?

“LRT kita (Kerajaan DAP Pulau Pinang) perlu menambak 1,800 hektar laut dan membuat pinjaman kewangan dengan Exxim Bank China.

“Tetapi pada akhirnya, apa yang kita ada hanyalah satu laluan LRT dari Komtar ke Bayan Lepas,” katanya seperti dipetik menerusi Facebooknya semalam.

Sementara itu, dalam status sama, Dr. Norlela turut mempertikai Pelan Induk Pengangkutan kerajaan negeri selepas kawasan yang diwakilinya di Penanti di sini, tidak termasuk dalam pelan berkenaan.

Menurutnya, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat bersama jawatankuasa pengangkutan awam negeri hari ini.

Status Facebook Dr. Norlela itu kemudiannya mencetuskan perdebatan dalam kalangan banyak pihak dengan ada yang memujinya kerana berani membangkitkan perkara itu malah ada yang turut menempelak beliau kerana dilihat memberi gambaran buruk kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Turut memberi reaksi kepada perkara yang dibangkitkan Dr. Norlela itu ialah Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow yang menjelaskan, kos LRT yang dirancang kerajaan negeri itu hanya RM8.4 bilion.

Menurut beliau, laluan LRT itu bermula dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) melalui Jelutong; Gelugor; Bayan Baru; Bayan Lepas; Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berakhir di bahagian tambak laut di Permatang Damar Laut. – MalaysiaGazette
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment