Ada pihak tak puas hati Dr M 'top dog' PH, dakwa bekas pemimpin PPBM

Tidak mustahil kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap dirinya 'top dog' dalam Pakatan Harapan (PH) boleh menimbulkan cakap-cakap belakang di kalangan pemimpin-pemimpin gabungan parti itu.

Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman berkata kenyataan Pengerusi PPBM itu akan menimbulkan sangsi, apatah sejak daripada mula lagi ada di kalangan pemimpin pembangkang kurang bersetuju dengan penglibatan Dr Mahathir dalam senarai kepimpinan PH.

"Sudah pasti akan ada perbincangan belakang tabir di kalangan pemimpin PH yang mula sangsi dan bimbang dengan kenyataan-kenyataan yang akan dikeluarkan Dr Mahathir sendiri," dakwanya kepada Antarapos.

Ini ditambah lagi dengan pendirian Dr Mahathir terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Dr Mahathir berulang kali menyebut bahawa Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan liwat, hanya boleh menjadi Perdana Menteri kelapan.

"Dalam perbincangan awal lagi PKR mengatakan bahawa tidak mahu Dr Mahathir berada di dalam perbincangan tentang kerusi dan sebagainya. Namun apabila melihat kemungkinan Dr Mahathir mempunyai pengaruh terhadap Melayu, maka diletakkan di situ.

"Namun dalam situasi semasa seperti kempen dan ceramah, cuba lihat bagaimana dimainkan jika PH menang Tan Sri Muhyiddin Yassin akan jadi PM sementara sebelum Anwar dilantik sebagai PM sebenar? Itu adalah permainan yang sentiasa dimainkan. Sekiranya itu diguna pakai, di manakah kedudukan Dr Mahathir yang sebenarnya?" soal Kamarulzaman.

Dr Mahathir yakin tarik sokongan Melayu

Kamarulazman berkata, oleh kerana Dr Mahathir mendakwa dirinya boleh menarik sokongan kaum Melayu, mantan perdana menteri itu cuba mewujudkan situasi serba salah dalam PH, sekali gus merasakan dirinya masih sesuai dicalonkan sebagai perdana menteri.

"Dr Mahathir cuba menimbulkan situasi sekiranya PH hendakkan pengaruhnya maka terpaksa menerimanya. Ini adalah signal awal dari Dr Mahathir minat untuk menjadi PM masih ada dan meletakkan situasi serba salah di kalangan rakan-rakan di dalam PH," katanya lagi.

Kelmarin Dr Mahathir mencanangkan dirinya sebagai 'top dog' atau pemimpin utama PH selepas dilantik sebagai Pengerusi gabungan pembangkang berkenaan.

Pengakuan tersebut, menurut Kamarulazman mengundang tanda tanya, apakah Dr Mahathir sekali gus cuba menunjukkan dirinya paling berkuasa di dalam PH, dan juga PPBM sendiri, yang sebelum ini dilihat ramai pihak sehingga menenggelamkan peranan Muhyiddin selaku Presiden.

"Kita tanya dahulu siapakah pemimpin nombor satu dalam PPBM? Sedangkan hal itu pun keliru juga dari seawalnya.

"Saya lihat apabila Dr Mahathir tidak berada di dalam mesyuarat maka Muhyiddin mendakwa beliaulah pemimpin sebenar PPBM. Namun apabila Dr Mahathir ada di dalam mesyuarat PH atau PPBM, maka seakan-akan Dr Mahathir adalah orang nombor satu dalam parti," ujarnya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment