Tony Fernandes Sokong Juruterbang Minta Berdoa....Orang Bukan Islam Lagi Faham Daripada Zaid?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyokong penuh tindakan seorang juruterbang AirAsia X yang meminta penumpang pesawat penerbangan Perth-Kuala Lumpur, Ahad lalu yang mengalami masalah teknikal supaya berdoa.

Menulis di Facebook, beliau berkata dirinya cukup berbangga dengan tindakan semua anak kapal penerbangan itu yang diketuai oleh Kapten Ibrahim.

“Mereka menjalankan tugas begitu hebatdengan membawa semua anak kapal dan penumpang mendarat dengan selamat.

“AirAsia tidak membuat enjin dan semua syarikat penerbangan akan berdepan kegagalan enjin. Tetapi apabila ini berlaku, ia memerlukan juruterbang yang hebat dan kepimpinan yang hebat semasa krisis.

“Saya begitu bangga. Menerusi video, semua penumpang kelihatan tenang dan daripada banyak kiriman e-mel dan WhatsApp yang saya terima, pengumuman kapten membuat semua orang tenang,” katanya.

Menurut Tony, jika AirAsia adalah syarikat perkhidmatan penuh, juruterbang itu akan dijulang sebagai wira.

Tetapi, katanya, memandangkan AirAsia adalah sebuah syarikat tambang murah, ada yang menganggap diri mereka sebagai pakar dan membuat pelbagai tuduhan liar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ramai warga Australia yang memuji AirAsia terhadap semua yang telah kami lakukan di sebalik mendapat liputan media yang buruk,” katannya.

Awal minggu ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menimbulkan kontroversi apabila beliau mempertikaikan tindakan juruterbang AirAsia itu yang meminta penumpang supaya berdoa ketika pesawat itu berpatah balik ke Perth.

Katanya, syarikat penerbangan tambang murah itu tidak seharusnya merestui tindakan juruterbangnya.

Dalam siri tweet berkenaan, Zaid berkata beliau lebih suka juruterbang tidak beritahu bahawa kematian semakin hampir.

Tulisnya, juruterbang seharusnya memberi harapan, dan sekiranya AirAsia mahu ceburi bidang agama, syarikat itu perlu melantik imam dan paderi sebenar.

Pesawat Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal kira-kira 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dan terpaksa berpatah balik.

Turut mempertahankan tindakan juruterbang itu adalah Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun.

Kamarudin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X berkata, tidak salah untuk berdoa dalam mana-mana agama terutamanya ketika seseorang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan tuhan.

“Bukan senang untuk mengendalikan keadaan seperti ini tetapi objektifnya adalah jelas iaitu untuk mendaratkan pesawat dengan selamat dan memastikan semua yang berada di dalamnya selamat.

“Alhamdulillah mereka berjaya melakukannya,” katanya dalam status di Facebook beliau.

Kamarudin, berkata selaku individu dan pemegang saham di AirAsia, beliau memihak kepada juruterbang dan pasukannya.

“Dia tenang dan terkawal dan sebagai seorang beriman dia meminta penumpangnya untuk berdoa bersama ketika beliau menerbangkan pesawat itu dengan selamat.

“Saya juga akan melakukan perkara yang sama,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment