PAN tidak hairan Pas ubah pendirian tentang kerjasama

KUALA LUMPUR – Pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) tidak hairan Pas akan mengubah pendirian berhubung kerjasama dengan PKR dan PPBM, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan Presiden PAN itu berkata, sikap tidak berpegang kepada pendirian yang tetap sudah sinonim dengan pimpinan Pas.

“PAS boleh buat keputusan hari ini, kemudian esok berubah, jadi saya tak pelik dengan `flip flop’ yang menjadi amalan pemimpin Pas hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah hari ini.

Salahuddin mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata, Gagasan Sejahtera masih terbuka untuk bekerjasama dengan PKR dan PPBM untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, PKR dan PPBM perlu memutuskan hubungan Amanah dan DAP.

Sebelum ini, PKR dan PPBM serta DAP dan PAN menganggotai Pakatan Harapan.

Pas pula mewujudkan Gagasan Sejahtera, yang dianggotai parti kecil seperti Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Pada 11 Mei lalu pula, Majlis Syura Ulama Pas mengambil keputusan menamatkan kerjasama dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar Pas ke-63, 30 April lalu.

Dalam sidang media sama, Salahuddin memaklumkan senarai pucuk pimpinan Pakatan Harapan akan diumumkan selepas sambutan hari raya.

Ia berikutan pucuk pimpinan gagal mencapai kata sepakat untuk memuktamadkan barisan kepimpinan PH sebelum Aidilfitri.

“Kita tidak ada masa untuk mengadakan mesyuarat beberapa hari ini kerana hari raya akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Ujar beliau, Majlis Presiden PH akan kembali bermesyuarat mengenai senarai kepimpinan pakatan dan logo bersama itu selepas Aidilfitri. – MalaysiaGazette
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment