Lembah Pantai dilanda badai?

SEAKAN-akan suatu yang luar biasa pula melihat perubahan penduduk sekitar Lembah Pantai, Kuala Lumpur, terhadap program-program anjuran UMNO waktu ini.

Jika suatu ketika agak susah melihat kelibat orang Pas hadir dalam majlis kelolaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Ini termasuklah di surau-surau dan masjid berdekatan. Adakalanya sumbangan pun ditolak dan diting­galkan begitu sahaja di tepi surau.

Namun dalam setahun dua ini terutama beberapa bulan ini tidak lagi begitu. Program UMNO di Masjid Ar-Rahman berhampiran pun turut diha­diri oleh pemimpin muda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. Kelibat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut kelihatan dalam program dihadiri Raja Nong Chik.

Kawasan Lembah Pantai yang disandang PKR sejak dua penggal lalu kelihatan ‘berubah wajah’. Dikatakan terdapat antara 8,000 hingga 12,000 penyokong tegar Pas di Lembah Pantai.

Sejak era ketua bahagian yang dahulu, Datuk Mohamed Kamal Hussain; penyandang kerusi lepas, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Raja Nong Chik sendiri berdepan dengan calon pembangkang di kawasan itu, undi ahli dan penyokong Pas tidak pernah menyeberang kepada calon Barisan Nasional (BN).

Namun kini apabila penyandang kerusi terbabit, Nurul Izzah Anwar dilihat pula mewujudkan kem PKR bersama PAN, diyakini akan ada persaingan timbal balik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Buktinya cukup jelas ketika ini. Poster-poster Raja Nong Chik serta program-program semasa Ramadan mula dikongsi oleh orang Pas dalam aplikasi WhatsApp.

Sehinggakan belum sempat pegawai Raja Nong Chik mahu menyebar maklumkan program anjuran UMNO, perkara itu telah pun dilakukan oleh beberapa orang surau kalangan ahli Pas.

Ketika dihubungi penulis baru-baru ini, Raja Nong Chik bagaimanapun masih merendah diri sambil menyifatkan cabaran BN untuk mengembalikan kerusi Lembah Pantai tetap berdepan cabaran getir.

Daripada 76,914 pengundi berdaftar yang dicatatkan dalam daftar pemilih setakat suku ketiga 2016, kira-kira 42,000 orang adalah pengundi Melayu.

Dalam persaingan menguasai kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU-13, dikatakan Raja Nong Chik hampir sahaja memenangi kerusi itu. Tetapi kerana dek permainan spin atau putar belit pembangkang, beliau tewas.

Nurul Izzah yang menjadi lawannya semasa itu begitu licik memanipulasi keadaan dengan membuat kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah membabitkan Raja Nong Chik dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur iaitu sehari sebelum PRU-13 pada 5 Mei.

Penerbitan kenyataan itu dalam portal propembangkang, Malaysiakini pada 4 Mei 2013 mengakibatkan reputasi dan maruah Raja Nong Chik sebagai ahli politik, bekas menteri dan se­nator terjejas teruk.

Setahun tiga bulan kemudian, Nurul Izzah mengemukakan kenya­taan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2014 dengan menyuarakan kekesalan mengeluarkan kenya­taan itu dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya.

Tetapi malangnya pada hari berkenaan, imej Raja Nong Chik sudah tercemar.

Putar belit dan fitnah oleh Nurul Izzah itu ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran. ­

Akhirnya dikatakan peti-peti undi Taman Bukit Angkasa dan satu dua tempat lagi tidak memihak kepada Raja Nong Chik. Damage has been done. Kerosakan sudah pun berlaku atau nasi sudah menjadi bubur.

Ditanya peluangnya kali ini seandainya sekali lagi terpilih sebagai calon BN Lembah Pantai, Raja Nong yakin akan berlaku perubahan di Lembah Pantai. “Kita (jentera BN) mesti bekerja secara bijaksana untuk menawan hati masyarakat Me­layu,” kata beliau.

Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment