Kisah mualaf Yazid - Bertuah 'dipilih' Allah SWT walaupun dibuang jauh keluarga sendiri

SHAH ALAM: 'Jika mahu masuk Islam, serahkan kunci rumah, kereta dan keluar daripada rumah ini', itu syarat yang diberikan ibu bapa Mohamad Yazid Abdullah, ketika pemuda berusia 41 tahun itu menyatakan hasrat mahu memeluk agama Allah SWT.

"Saya bukan jenis orang yang suka sembunyikan sesuatu perkara. Apabila saya beritahu kedua-dua ibu bapa saya niat hendak memeluk Islam, mereka agak terkejut. Mereka kemudiannya beri syarat, jika saya benar-benar mahu masuk Islam, saya perlu tinggalkan kesemuanya, letak kesemua kunci rumah dan kereta dan menyuruh saya keluar.

"Ya, saya akan keluar... Ketika itu hanya saya, isteri dan dua anak kami yang masih kecil. Namun saya tak mahu anggap ia masalah. Saya kemudiannya letak kunci rumah dan kereta. Dan beritahu mereka saya mahu ambil baju-baju saya, isteri dan anak-anak, kemudian kami akan keluar rumah," katanya kepada wartawan Antarapos.

Sehelai sepinggang bersama isteri dan dua anak yang masih kecil, Yazid, yang ketika itu berusia 35 tahun, hanya berbekalkan RM500 untuk membina hidup baru bersama keluarga.

Mujur ada seorang sahabat yang sudi membantu, yang kemudiannya menawarkan tempat berteduh di Johor Bahru.

"Akan ada keajaiban dalam kuasa Allah SWT. Dia akan beri apa yang kita mahu jika niat kita ikhlas. Saya ke sebuah surau di Johor Bahru berdekatan dengan rumah rakan saya. Pertama, orang-orang di sana tidak pernah halang saya untuk masuk masjid. Penduduk di Bukit Indah juga tidak pernah memaksa saya untuk memeluk Islam. Mereka sebaliknya mengajak kita untuk lebih mengenali Islam.

"Dalam beberapa kali datang ke masjid, belajar... Akhirnya saya putuskan untuk mengucap kalimah syahadah di surau Bukit Indah, Johor dan mendaftar di pejabat Agama Daerah Johor," katanya.

Meskipun terkilan dengan penentangan dan reaksi keras ahli keluarganya, Yazid yakin ia timbul selepas mereka tidak jelas dengan kesucian agama Islam.

Apatah lagi mereka kesemuanya kuat pegangan agama Hindu dan mengamalkan adat dan budaya Malayalam.

Atas kebencian itu juga, berita kematian bapanya hanya diketahui selepas beberapa minggu, itu pun melalui seorang rakannya.

"Kasta Malayalam yang merupakan kasta yang tertinggi di dalam kaum India, dimana contohnya mereka tidak membenarkan perkahwinan sesama India secara sembarangan, contohnya hanya membenarkan sesama kasta Malayalam sahaja.

"Kita rasa kecewa... tetapi saya tidak salahkan mereka. Sebab mereka ada tanggapan salah terhadap Islam, seolah-olah kita tidak boleh buat itu ini. Sedangkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya (tentang Islam)," ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut, Yazid berkata dalam keluarga kecilnya itu hanya dirinya sahaja yang memeluk Islam, manakala isteri dan dua anaknya masih lagi dalam agama yang lama.

Isterinya yang berasal dari Indonesia dan beragama Kristian itu akhirnya terbuka untuk memeluk Islam selepas dua tahun, bersama dua anak lelaki mereka.

"Sebab itu saya katakan kepada isteri saya kita kena hargai. Saya juga beri masa kepada dia, kerana sanggup berkorban demi saya. Dia mahu ikut saya keluar dari rumah, saya beri dia masa dan tidak akan paksa (masuk Islam)," ceritanya lagi.

Namun jauh di sudut hatinya, terdetik perasaan sebak mengenangkan nasib isteri dan anak-anaknya yang tidak mendapat kasih sayang keluarganya.

"Tentunya, saya sudah bersama mereka sejak kecil. Isteri, anak-anak saya yang tidak buat salah pun terkena tempiasnya. Mereka tak merasa ziarah rumah nenek, datuk, merasa makanan ibu mertua," kenang Yazid.

Minatnya terhadap Islam bermula sejak remaja apabila dirinya sering bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang beragama Islam.

Yazid memberitahu dirinya hairan mengapa rakan-rakannya sering mengerjakan solat, lantas melakukan sedikit kajian terhadap agama Islam dan mengaitkan tuntutan Allah SWT terhadap logik alam, kesihatan dan urusan seharian.

"Saya seorang yang suka mengetahui sesutu, mengapa dan ada banyak pertanyaan. Saya dibesarkan di kalangan orang Melayu, sudah terbiasa mendengar azan dan saya seperti hendak tahu, tertanya-tanya... Jadi saya selidik sedikit-sedikit, mengapa kena solat, mengapa kena bersihkan badan, berwuduk, cara solat, sujud, rukuk, kemudian kaitannya dengan kesihatan dan terbukti secara saintifik.

Bagaimanapun Yazid 'menyesal' kerana baru memeluk Islam selepas dirinya berusia 30-an, dan merasakan dirinya seolah-olah tidak cukup masa untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan kesucian dan kecantikan agama tersebut.

Mengakui dirinya amat beruntung menerima hidayah daripada Allah SWT, Yazid yakin isteri dan anak-anaknya juga turut merasakan hal yang sama.

"Saya rasa hidup saya pendek... Saya rasa seperti mengapa baru sekarang saya memeluk Islam? Saya masuk Islam dan kini saya berumur 41 tahun. Ilmu Islam itu luas dan saya rasa hidup saya pendek.

"Sebab itu saya cuba sebaik mungkin untuk belajar dan mendapatkan ilmu, sebab ilmu Allah itu cantik, luas, sedangkan ia membuatkan saya terfikir kenapa saya tak buat keputusan memeluk Islam sejak dahulu," katanya sambil tersenyum.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment