Dikaitkan dengan komunis, Amanah saman Pesuruhjaya PAS Perak

Amanah hari ini mengugut untuk menyaman Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria selepas mengaitkan pimpinan parti itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Ahli Jawatankuasa Amanah Pusat, Hanipa Maidin merujuk kepada kenyataan yang berbaur provokasi yang disiarkan melalui laman Facebook Razman, sejak beberapa hari lalu.

"Kita akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Razman, oleh kerana kenyataan di Faceboknya melibatkan pemimpin Amanah seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Anuar Tahir dengan memaparkan gambar yang jelas, jadi kita akan saman atas nama individu yang ada di dalam gambar," katanya di sidang media parti itu, pagi tadi.

Menerusi kenyataan di Facebook Razman bertajuk 'Berjuang dengan jelas. Jangan bimbang dan 'playsafe'. Musuh tetap musuh, beliau mengaitkan pemimpin Amanah dengan penubuhan Rejim ke-10 iaitu sayap kanan Parti Komunis Malaya (PKM).

Kemudian Amanah dikaitkan pula dengan DAP, yang didakwa sebagai serpihan PKM, sebagai sokongan orang Melayu terhadap parti pimpinan Lim Kit Siang itu.

Selain Mohamad Sabu, Salahuddin dan Anuar, kenyataan itu turut memaparkan gambar pemimpin Amanah dan DAP iaitu Ahmad Awang, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Hanipa menambah, apa yang lebih kesal dengan pemimpin parti yang memperjuangkan Islam itu adalah tindakannya itu mencemarkan kemuliaan Ramadhan.

"Dia (Razman) buat di dalam bulan Ramadhan, sedangkan tidak ada provokasi pun (dari Amanah), tetapi dia siarkan benda (kenyataan) ini dengan komunis, dan berulang-ulang," katanya lagi.

Amanah memberi tempoh selama 14 hari terhadap Pesuruhjaya PAS Perak itu untuk membuat permohonan maaf selepas surat tuntutan mahkamah diserahkan kepadanya, selewat-lewatnya esok.

"Saya berharap Razman akan bertanggungjawab dengan tulisannya sendiri menerusi kenyataan di Facebook beliau. Saya menjangkakan Razman akan pertahan dirinya dan kita akan jumpa di mahkamah," tambah Hanipa lagi.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment