Rafizi Dan Pembangkang… Berhentilah Menjual Kelentong Kepada Rakyat – Zein

KUALA LUMPUR, 27 April – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Hj Ismail menyifatkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli kini dalam keadaan terdesak sehingga membuat kenyataan bodoh dan tidak masuk akal apabila mendakwa kononnya kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua AMK Ampang, Adam Rosly adalah berbeza, di mana beliau mendakwa kes rasuah Lim Guan Eng itu adalah perangkap politik, manakala kes rasuah Adam Rosly pula bukan satu perangkap politik.

Jelasnya, kenyataan Rafizi itu hanyalah satu alasan yang direka-reka oleh untuk menutup sikap berat sebelahnya terhadap kedua-dua pemimpin pakatan pembangkang itu yang sedang menghadapi tuduhan yang sama iaitu terbabit melakukan jenayah rasuah.

“Kenyataan Rafizi itu bagi saya hanyalah sekadar satu alasan bodoh dan terdesak untuk menutup sikapnya yang pilih bulu dalam isu rasuah pemimpin pakatan pembangkang. Jika kes rasuah Guan Eng itu beliau anggap kononnya sebagai perangkap politik, mengapa beliau tidak menganggap kes rasuah Adam Rosly juga adalah perangkap politik?

“Apa yang patut Rafizi lakukan adalah untuk meminta partinya itu turut menjarakkan hubungan dengan Lim Guan Eng dan tidak hanya terhadap Adam Rosly,  kerana Guan Eng juga telah didakwa melakukan perbuatan rasuah, sama seperti Adam Rosly.

“Biarpun senario kedua-dua kes  pemimpin pakatan pembangkang itu berbeza, namun secara asasnya mereka melakukan kesalahan yang sama iaitu rasuah. Saya jadi pelik mengapa pula Rafizi berusaha keras untuk menafikan Guan Eng terbabit melakukan rasuah dalam isu pembelian rumah banglo itu, dan mengiyakan pula Adam Rosly terbabit melakukan rasuah dengan alasan bodoh bahawa Adam merupakan bekas ahli Pas satu ketika dulu.

“Saya fikir Rafizi harus kembali ke alam realiti, tidak terawang-awang di alam kayangan dan menerima hakikat bahawa kedua-dua pemimpin pembangkang itu telah terbabit dan didakwa oleh mahkamah dengan kesalahan yang sama iaitu rasuah,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Zein yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang, menyeru Rafizi agar tidak berterusan cuba untuk menjual kelentongnya kepada rakyat dalam isu rasuah kedua-dua pemimpin pakatan pembangkang ini, dengan harapan rakyat dan penyokong pakatan pembangkang akan termakan dengan alasan tidak masuk akalnya itu.

“Saya minta Rafizi cukup-cukuplah membuat kenyataan lawak seperti itu. Tidak ada gunanya beliau mahu mempertahankan Guan Eng yang kini dihadapkan di mahkamah kerana perbuatan rasuah, dengan kenyataan retorik kononnya kes Guan Eng itu adalah permainan dan perangkap politik UMNO dan BN.

“Tidak ada sesiapa pun di kalangan ahli mahupun kepimpinan UMNO dan BN yang mempengaruhi Guan Eng untuk membeli rumah banglo tersebut di bawah pasaran daripada seseorang individu yang pernah memenangi tender kerajaan.

“Bahkan saya yakin Guan Eng juga mengetahui perkara tersebut adalah salah, namun beliau secara sedar tetap mahu membeli banglo tersebut di bawah harga pasaran kerana mungkin beliau yakin pembelian rumah itu dapat disorok daripada pengetahuan umum, namun malangnya jangkaan Guan Eng tersasar.

“Kepada Rafizi, jika sekali dua kita berbohong dan menjual kelentong, mungkin rakyat akan termakan dengan kelentong kita itu. Tetapi jika sudah berkali-kali membuat kenyataan yang tidak masuk akal, bahkan beliau juga sudah beberapa kali disabitkan mahkamah dengan kesalahan memfitnah, saya kira Rafizi sepatutnya bersaralah daripada menjadi pengarah strategik PKR.

“Berhentilah menjual kelentongnya kepada rakyat, kerana rakyat di negara ini bukanlah bodoh sepertimana yang beliau sangkakan,” tegasnya.-MediaUMNO

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana