Putus hubungan dengan PKR dan DAP 'demi agama Allah' - Iskandar

Hubungan yang putus dalam gabungan Pakatan Rakyat kerana 'agama Allah' kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Menurutnya PAS sanggup menamatkan kerjasama dengan PKR dan DAP atas rasa tanggungjawab terhadap Allah dan bukan atas tuntutan politik.

Beliau yang juga exco Selangor berkata parti itu boleh memberikan bukti langkah meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bukan bermotifkan politik.

“Kita buat ini bukan atas dasar politik, sebaliknya tanggungjawab kita terhadap agama Allah. Kalau kita nak peluang politik, kita tidak akan buat pindaan dan sudah tentu Pakatan Rakyat masih ada lagi.

“Tetapi ini adalah tanggungjawab kita. PAS ini bukannya parti oportunis, kita hendak perkasakan syariat Allah. Walaupun kita tahu kesannya adalah berat,” katanya dalam ceramah di Kampung Pandan malam tadi.

Minggu lalu, PAS menamatkan kerjasama politik dengan PKR, walaupun wakilnya enggan melepaskan jawatan di peringkat kerajaan Selangor yang diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada program semalam, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, walaupun ditentang serta dikecam dalam usahanya meminda Akta 355, ia masih berani menjalankan muktamar dan pemilihan pucuk pimpinan.

“Kita bukan sahaja boleh buat muktamar, tetapi kita boleh buat pemilihan,” katanya.

Menurut Khalil, ia berbeza daripada kemelut dalaman parti lain seperti Umno, PKR dan DAP.

“Apa yang berlaku dalam Umno adalah perpecahan yang tidak boleh disembunyikan, buktinya Umno tidak berani lakukan pemilihan.

“Begitu juga apa yang berlaku dalam PKR, mereka serang PAS, supaya exco PAS letak jawatan, kita difahamkan PKR sendiri berbalah di antara satu sama.

“Dalam DAP, DAP Pulau Pinang dan DAP Melaka tidak sama. Mereka juga bertelagah satu sama lain,” katanya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment