PAKATAN HARAPAN… HAKIKATNYA, ITULAH MEREKA

Pakatan Harapan dan sekutu mereka sedang meng­alami penyimpangan. Di satu sisi mereka sederap mempromosi diri sebagai pasukan pilihan bagi menggantikan BN. Di sisi lain pula mereka justeru bertingkah buruk yang telah menghakis harapan khalayak mereka.

Sesuatu yang mengelirukan apabila parti baharu PPBM yang berhajat memimpin Pakatan Harapan terus dipukul dengan konflik kepemimpinan. Benarlah tanggapan umum bahawa parti ini hanya dipenuhi oleh individu kecewa tanpa satu asas perjuangan yang mengikat. Masing-masing ada kepentingan sendiri.

PPBM tidak mengambil waktu lama untuk mem­per­lihatkan wajah sebenar mereka. Parti yang terus kalut sebaik-baik dilahirkan ini hanya gah dengan gimik dan polemik. Pencapaian terbaik mereka ialah dapat bekerjasama dengan supremo DAP, Lim Kit Siang dan seterusnya diterima masuk menyertai Pakatan Harapan.
Anina Saadudin yang dipalit dengan isu seks tiba-tiba kehilangan jawatan Ketua Srikandi. Pimpinan kanan, Datuk Ezam Mohd. Nor keluar PPBM tidak sampai tiga bulan menyertai parti itu. Terdahulu yang paling awal mengumumkan keluar parti ialah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, orang kuat Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anina terlucut jawatan atas alasan kesilapan teknikal. Ezam letak jawatan kerana mahu menumpukan perhatian terhadap NGO anti rasuah beribu pejabat di Jakarta manakala Khairuddin perlu fokus terhadap kes mahkamah.

Kini, Anina masih dengan PPBM. Ezam dan Khairuddin pula menubuhkan parti baharu, Parti Bebas Rasuah. Mereka sudah menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan. Parti kecil ini akan fokus kepada isu rasuah tetapi pada masa sama berhasrat untuk bertanding dua kerusi sahaja. Itulah mereka.

Terbaharu ahli majlis ter­tinggi, Kamarulazman Habibur Rahman keluar parti. Beliau adalah antara tujuh pengasas PPBM hilang keyakinan dengan parti ini.

Beliau yang dari awal ber­susah payah membentuk gelom­bang akhirnya terpaksa angkat tangan dengan sikap pilih kasih dan pentingkan kelompok sen­diri dalam kalangan pimpinan PPBM.

“Saya tidak menyertai politik untuk kepentingan peribadi atau mendapatkan kekayaan dan ke­dudukan. Sebagai seorang guru, saya memperjuangkan kehidupan rakyat dan masa depan negara,” kata Kamarulazman.

Begitupun tindakan Kamarul­azman ini dianggap remeh oleh PPBM. Selain menafikan semua dak­waan kronisme dan kasta da­lam parti itu, pimpinan tinggi PPBM terus bernafsu besar menye­rang kerajaan BN.

Mereka seakan-akan tidak pe­duli rumah sendiri sudah ber­an­takan walaupun baru dibina. Yang ter­nampak tetap dipedulikan ialah singgahsana di Putrajaya yang penuh kilauan kuasa dan ke­kuasaan.

Rakyat dan kesengsaraan mereka hanya dijadikan tebusan untuk mencapai cita-cita peribadi. Mengikut pengakuan Kamarulazman, orang yang paling layak menilai prestasi PPBM ini, itulah realiti yang berlaku dalam PPBM. Itulah mereka.

Cerita penyimpangan dalam Pakatan Harapan dan sekutunya seperti tiada habisnya. Ezam yang menjual dirinya sebagai pemimpin yang tinggi integritinya berhadapan pula dengan dakwaan parti baharunya ditubuhkan dengan cara salah.

Keraguan

Buat masa ini Ezam dan Khairuddin dilarang menggunakan Parti Bebas Rasuah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) belum mengiktiraf pertukaran kepimpinan parti itu daripada parti terdahulu, Parti Generasi Baru. ROS mendapati ada keraguan dalam penubuhan parti itu.

Kita wajar bertanya, apa berlaku kepada pengakuan awalnya untuk memberi fokus kepada Hizbah Centre di Indonesia. Cepat benar berubah seperti cepatnya beliau bertukar parti. DAP pula, parti yang kini menguasai Pakatan Harapan semakin hilang kekuatannya kerana begitu bertolak ansur dengan isu integriti dan moral. Selama ini dua elemen inilah yang menjadi tiang DAP.

Barangkali DAP pun sudah lupa diri dengan kuasa yang mereka miliki. Maklumlah DAP merupakan parti paling berprestasi tinggi dalam tempoh tiga pilihan raya umum yang lalu. Pada Pilihan Raya Umum 1990, DAP memperoleh 10 kerusi, 2004 (12 kerusi), 2008 (28 kerusi) dan 2013 (38 kerusi).

Pastinya mereka membayangkan jumlah kerusi yang bakal dimenangi pada pilihan raya umum akan datang terus bertambah. Tiada apa yang boleh mengubah keadaan itu kerana keyakinan mereka – pengundi Cina akan terus bersama DAP.

Sebab itu pedulikan, mereka tetap mempertahankan kedudukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Pedulikan walaupun bertentangan dengan pendirian DAP selama ini.

Kini DAP diuji lagi. Pendirian mereka terhadap gambar adegan cumbu orang yang mirip Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ikon Melayu DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud yang juga pembantu Kit Siang dan bekas calon Parlimen Teluk Intan dinanti-nanti.

Gambar dan video aksi intim pasangan mirip mereka itu bukan pertama kali tular di media sosial. Khairil, 34, yang telah berkahwin menafikan beliau dalam gambar di sebuah restoran itu. Dyana Sofya sebaliknya tidak menafikan mahupun mengesahkan tetapi hanya menyelar penyebaran gambar tersebut.

DAP setakat ini masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Bagaimanapun beberapa pemimpin DAP memberi signal untuk menghukum kedua-dua ikon Melayu DAP itu. Zairil malah telah diminta untuk berhadapan terus dengan media bagi menjawab segala kekalutan.

Cuma entah mengapa sehingga sekarang Zairil yang sering dipertikaikan Melayunya oleh musuh-musuh politik beliau, mahupun Dyana Sofya masih gagal berbuat demikian. Semua orang ternanti-nanti penghujung al-kisah Melayu dan DAP ini, iaitu tajuk sama siri tiga tulisan Zairil dalam portal parti itu,

Agak rumit bagi DAP untuk menyuraikan isu gambar intim mirip Zairil dan Dyana Sofya ini. Dalam media sosial hampir tiada siapa yang mempercayai itu bukan gambar mereka. Di sisi lain DAP perlu mempertahankan kedua-duanya kerana mereka telah kepalang dijulang sebagai ikon muda Melayu dan Islam dalam DAP.

Setakat ini DAP belum mengambil sikap yang jelas. Sekali lagi, DAP telah menggadaikan imej integriti dan moral tinggi yang masih tersisa dalam parti itu.

Sekali lagi, itulah mereka.
Oleh : Zulkefli Hamzah
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment