GILIRAN DAP PULA BERSIKAP TEGAS TERHADAP PAS

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mencabar DAP untuk membuktikan ketegasan mereka dengan memastikan PAS tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.
Kata beliau, DAP sebagai rakan kongsi dalam kerajaan Selangor yang turut dianggotai PAS, perlu berbuat demikian selepas mereka seringkali mencabar parti komponen BN untuk bersikap tegas bersabit pembentangan RUU berkenaan.
“Mereka masih bersama PAS di Selangor. Saya rasa jika mereka ingin mengambil langkah proaktif, mereka harus contohi BN, supaya memastikan PAS tak bentangkan pindaan akta itu.
“Kalau mereka tak dapat berbuat demikian, mereka kena putuskan hubungan dengan PAS tanpa bermain drama politik lagi,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
Ujarnya, DAP tidak perlu terus bermain wayang dengan cuba melaga-lagakan Umno-BN dengan PAS bersabit keputusan kerajaan yang tidak akan membentangkan RUU berkenaan.
Ujarnya, jika benar DAP ikhlas dan tegas, parti itu perlu suarakan pendirian sebenar mereka sebagaimana yang dilakukan parti komponen BN.
“Nampak tegas dari retorik saja, tapi mereka masih tak beri kata putus kepada PAS dalam hal ini. Mereka masih terus bersama PAS di Selangor.
“Kalau mereka serius mahu PAS ambil perhatian, mereka harus putuskan hubungan dengan PAS di Selangor,” kata beliau lagi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak pada malam Rabu mengumumkan keputusan konsensus BN, untuk tidak mengambilalih RUU bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada PAS.
Sehubungan itu, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan ia tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Untuk rekod, DAP sebelum ini mendesak pemimpin kanan parti komponen BN supaya menunaikan janji mereka untuk meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya kerajaan membenarkan RUU itu dibahas di Parlimen.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana