Jeng...Jeng!!!! Rasuah Sultan Johor: Suspek Diarah Serah Diri Atau Identiti Didedah - SPRM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi masa sehingga pukul 12 tengah malam Khamis untuk individu yang cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran menyerah diri.
Timbalan Pengarah Operasi Datuk Azam Baki berkata sekiranya individu berkenaan gagal berbuat demikian, SPRM tidak teragak-agak untuk mendedahkan identitinya.
"Kita minta beliau tampil di pejabat SPRM dan kita beri masa sehingga pukul 12 tengah malam ini.
"Beliau tahu tentang perkara ini, jika tidak tampil kita akan dedahkan nama dan gambar beliau," katanya kepada pemberita, Khamis.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini.
Azam berkata, individu berkenaan masih berada di dalam negara dan akan dihalang jika cuba melarikan diri ke luar negara.
Beliau yang enggan mendedahkan identiti individu berkenaan berkata, adalah lebih baik jika 'orang tengah' berbangsa Cina itu tampil di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
"Lebih baik beliau hadir di sini, semua orang tahu pejabat SPRM Putrajaya...beliau boleh hubungi pegawai saya bernama Ezani," katanya.
Ditanya sama ada SPRM akan merekod keterangan Sultan Ibrahim, Azam berkata, apa yang menjadi keutamaan pada masa ini adalah mendapatkan individu yang didakwa cuba merasuah baginda.
Katanya, setakat ini hanya seorang suspek dikenal pasti terlibat dalam kes ini.
"Sultan Ibrahim sudah memberi maklumat, sekarang kita mahu dapatkan lelaki terbabit dulu untuk pertimbangkan tindakan selanjutnya," katanya.
Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang Di-Pertuan Agong.
Pada Isnin, baginda telah mengadakan pertemuan dengan SPRM bagi mendedahkan maklumat berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda untuk pemberian pingat kebesaran kerajaan.
Pertemuan antara baginda dan SPRM yang diwakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, diadakan di satu lokasi di sini.
Comments