AZMIN DIBIDAS KERANA SINDIR NIK ABDUH

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dibidas kerana menyindir Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ‘tok lebai’ yang bercita-cita tinggi mahu menawan Selangor walhal kalah dalam pemilihan parti di kawasan sendiri.
Ketua Pemuda PAS Subang, Hanafi Zulkapli percaya sindiran Azmin itu merujuk kepada Nik Abduh selepas Ketua Pemuda PAS Pusat itu mengulas hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mensasarkan kemenangan di lima negeri termasuk Selangor, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Nik Abduh kalah teruk pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa apabila hanya mendapat 37 undi berbanding lawannya Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin (207 undi).
Nik Abduh melalui tulisannya berkata persetujuan untuk PKR menerajui Selangor tidak akan sentiasa kekal seperti sebelum ini.
“Pemuda Subang melihat kenyataan YB Azmin ini sebagai satu gaya pemikiran yang senteng kerana pemilihan jawatan dalaman PAS di peringkat kawasan-kawasan adalah urusan menyusun gerak atur pergerakan PAS di peringkat akar umbi itu sendiri dan sama sekali tidak absah jika ingin dinisbahkan kepada gerak kerja pilihan raya,” kata Hanafi dipetik portal Harakahdaily.
Dalam kenyataannya, Hanafi menegaskan bahawa kerusi menteri besar yang disandang Azmin adalah “ihsan” PAS dan kemenangannya di Gombak pula hasil kekuatan gerak kerja jentera mereka.
“YB Azmin perlu menyedari hakikat bahawasanya PAS mempunyai kekuatan yang ampuh di peringkat akar umbi.
“Kesinisan kenyataan YB Azmin ini seolah-olah menjerut leher sendiri tatkala beliau menyedari hakikat bahawa PKR tidak ada kekuatan jentera di mana-mana kawasan sekalipun,” katanya.
Pemuda PAS Subang juga menyeru semua perwakilan PAS di muktamar kawasan masing-masing menyokong usul memutuskan hubungan politik dengan PKR.
Dewan itu juga mengumumkan akan bertanding di dua kerusi PKR dalam pilihan raya umum akan datang iaitu Parlimen Subang dan Kota Damansara, selain kawasan mereka di Paya Jaras.
“Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang sekali lagi bertegas akan terus konsisten menyambut seruan Ketua Dewan Pemuda PAS, YB Nik Muhammad Abduh untuk menawan Selangor sekali gus menunjukkan pintu keluar kepada YB Azmin Ali daripada pejabat menteri besar dan menyingkirkan YB Azmin Ali daripada kerusi parlimen Gombak,” katanya.
Selain Selangor, PAS mensasarkan untuk menang di Terengganu, Kedah, Perak dan kekal memerintah di Kelantan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana