PAS dijangka tolak bentuk kerjasama dengan PPBM... keputusan Jumaat ini

Jika melihat pada riak dan keadaan cuaca politik semasa... parti pembangkang Melayu/Islam paling kuat di Malaysia, dijangka akan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti nyamuk pimpinan Tun Mahathir Mohamad dan  Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun secara rasminya, keputusan samada terima atau tolak tawaran kerjasama itu akan dibuat oleh PAS pada Jumaat ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS akan membuat keputusan berhubung cadangan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Jumaat ini.
Menurutnya, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memberi penjelasan berhubung keputusan tersebut.
“Saya mengetuai pertemuan dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir awal bulan lalu dan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu mendengar sendiri penjelasan Presiden parti sekali gus membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Langkah seterusnya adalah mengkaji tindakan susulan dalam Muktamar Tahunan PAS April ini sebelum Majlis Syura Ulama membuat keputusan muktamad,” katanya dipetik dari laporan Utusan pada Selasa.
Pada Isnin, Abdul Hadi memberikan ‘isyarat’ kerjasama antara partinya dengan PPBM mungkin tidak direalisasikan berdasarkan hubungan semasa PPBM membabitkan DAP serta PAN, meskipun wujud perbincangan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, PAS tidak terikat dengan sebarang tempoh atau mana-mana pihak termasuk Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad dalam membuat sebarang keputusan berkaitan parti.
Katanya, tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS dan mana-mana parti lain bukan keputusan individu tetapi melibatkan perbincangan semua pihak di peringkat akar umbi hingga kepemimpinan tertinggi.
“Tahaluf siyasi itu juga akan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa kerana ia boleh diputuskan pada bila-bila masa jika parti atau pihak berkaitan bertindak mengkhianati PAS.
“Jika Mahathir mempersoalkan isu penyertaan PAS dalam pakatan pembangkang, kita memang tidak akan menyertainya semula. Jadi, tidak perlu memberi sebarang tempoh,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, kajian berhubung kerjasama antara parti itu dengan PPBM dan PKR akan dilaksanakan sehingga hujung Mac ini sebelum dibentangkan dalam Muktamar Tahunan PAS.
Katanya, langkah yang merupakan prosedur biasa dalam PAS itu dilaksanakan selepas Dewan Muslimat PAS Kedah mengemukakan usul mengenai tahaluf siyasi dengan PKR dalam Muktamar Tahunan sayap berkenaan tahun lalu.
“PAS sentiasa terbuka untuk ta’aruf atau kerjasama berkaitan syariat Islam dengan mana-mana pihak termasuk PPBM dan PKR, malah dengan pihak yang berbeza pandangan politik seperti yang dilakukan bersama Barisan Nasional (BN) berhubung solidariti terhadap nasib etnik Rohingnya, baru-baru ini,” jelasnya.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment