Tak kejar jawatan PM hanya perangkap politik DAP

SHAH ALAM - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengatakan bahawa parti itu tidak mengejar jawatan Perdana Menteri namun mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan tersebut dilihat sebagai perangkap politik oleh mereka.

Sebelum ini, Guan Eng mengutarakan kata-kata tersebut ketika memberikan ucapan di Konvensyen DAP 2016 tempoh hari di mana beliau juga turut menekankan bahawa parti itu tidak berhasrat menguasai kerajaan jika menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, kenyataan tersebut hanyalah untuk menyedapkan hati Anwar dan PKR sahaja dan ia adalah perangkap politik yang dibuat oleh parti itu.

“DAP sedar bahawa mereka memerlukan Anwar dan keluarganya untuk mendapatkan sokongan masyarakat dan undi orang Melayu.

“Kini, dengan sokongan Tun (Mahathir Mohamad) dan Bersatu mungkin dapat memberi peluang kepada Dap untuk menambah kerusi mereka di kawasan penduduk Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Tambahnya lagi, tidak mustahil sekiranya Anwar akan dipinggirkan oleh DAP setelah mendapat rakan kongsi baru.

“Saya melihat tidak mustahil jika selepas ini Anwar akan diketepikan oleh DAP dengan sokongan terang-terangan Tun kepada agenda dan politik parti tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, berdasarkan pengalaman lepas, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa DAP mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada individu yang boleh mereka jadikan 'boneka’.

“Ada yang pernah mengatakan bahawa DAP pernah 'membonekakan' Menteri Besar Perak sewaktu Pas menduduki kerusi tersebut.

“Mungkin sebab inilah Pas sudah tidak sudi lagi untuk bersama DAP,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa DAP menyasarkan jawatan strategik dahulu sebelum mengusai kerajaan.

“Contohnya seperti Kementerian dalam negeri dan juga berkaitan urus tadbir undang-undang serta berkait dengan hal ehwal kewangan dan ekonomi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau juga mendakwa kenyataan Guan Eng itu menunjukkan dia tidak yakin bahawa Pakatan Harapan boleh memenangi PRU akan datang.

“Kenyataan Guan Eng memberi petanda bahawa Pakatan tiada harapan untuk kuasai Putrajaya oleh itu  Umno/ BN  boleh mengambil peluang dari perkara ini.

“Ia juga merupakan satu pengiktirafan menyatakan hanya Presiden Umno sahaja yang masih layak untuk kekal menerajui kepimpinan negara,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana