Sepentas dengan UMNO... PAS tak peduli ejekan parti makan dedak

Penyokong-penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) tidak senang duduk lihat UMNO dan PAS boleh berkongsi pentas. Macam-macam yang diejeknya apabila melihat dua parti Melayu yang selama ini bermusuhan sedia mengetepikan perbezaan pandangan politik demi solidariti ummah.
Namun bagi PAS, parti itu tidak ambil peduli dengan pelbagai gelaran yang dilemparkan ke atas parti itu oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) kerana mengadakan perhimpunan membantah kekejaman ke atas etnik muslim Rohingya bersama UMNO pada Ahad.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, PAS bukan parti budak- budak yang boleh dicucuk hidung walaupun digelar sebagai parti makan dedak dan sebagainya oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.
“PAS mengambil pendekatan Muwajahah Silmiah. Jalur dakwah dan jalur politik. Orang yang mengukur PAS dengan jalur politik tidak akan temui jawapannya. PAS bergerak dan bertindak atas panduan Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan media.
Idris dalam pada itu mengingatkan semua pihak bahawa Tun Mahathir Mohamad sewaktu memerintah negara ini pernah memperkenalkan Program Islamisasi untuk menarik ramai menyertai UMNO.
Malah, katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan badan dakwahnya pada waktu itu turut menyertai UMNO kerana terlalu kagum dengan Mahathir sedangkan PAS tidak percaya dengan Program Islamisasi Mahathir tersebut.
Kata beliau, macam- macam seminar seperti Siasah Syariyyah dan Maqasid Syariah dibuat oleh Mahathir untuk menghalalkan penyertaan Anwar ke dalam UMNO waktu itu.
Pada Ahad, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta para pemimpin utama kedua-dua parti berkenaan duduk sepentas untuk sama-sama menyertai Himpunan Solida­riti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa
Antara pemimpin utama kedua-dua parti yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Himpunan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu telah berjaya menarik hampir 20,000 orang yang sanggup bersesak memenuhi segenap ruang di Stadium Titiwangsa termasuk masyarakat Islam Rohingya yang menetap di negara ini.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment