PKR, PAN, PPBM SEKADAR ‘PAK TURUT’?

DAP tetap taiko dalam pembangkang manakala sehebat manapun PKR, PAN dan PPBM mereka perlu bersedia untuk menjadi pak turut. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

KOMENTAR ZUL BAKAR

APABILA tercetusnya konflik dalaman UMNO pada 1987 berikutan pertembungan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi perebutan jawatan Presiden, parti itu akhirnya terpecah dua.
Tengku Razaleigh membawa haluan sendiri dengan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Dalam usaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Dr. Mahathir, parti-parti pembangkang kemudian melakukan kesepakatan. S46 menghulurkan salam persahabatan dengan DAP dan Pas.

Kedua-dua parti itu bersedia bersama S46 walaupun mengetahui masing-masing mempunyai ideologi berbeza. Berikutan pertembungan itu, S46 menubuhkan dua blok pembangkang iaitu satu bersama DAP dalam Gagasan Rakyat manakala dengan Pas dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Pada 1998 iaitu apabila UMNO sekali lagi dilanda krisis setelah Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama dengan penyokong Anwar menubuhkan PKR. Sekali lagi pembangkang bergabung dalam apa yang dipanggil Barisan Alternatif. Seperti sebelumnya, DAP dan Pas dirangkul bersama.

Bagaimanapun keberadaan Pas sejak 2008 dalam pakatan pembangkang tidak bertahan lama apabila berlaku pertelingkahan dengan DAP yang dilihat terus tegar menentang dasar perjuangan Islam Pas. Akibatnya, Pas bukan sahaja membuat keputusan keluar daripada pakatan pembangkang malah parti itu terpecah dua apabila pemimpin-pemimpin Pas yang tewas dalam perebutan jawatan utama parti itu menubuhkan PAN diketuai oleh Mohamad Sabu.

Keterujaan pakatan pembangkang kononnya PAN mampu menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Pas tidak ke mana kerana realitinya PAN gagal menarik sokongan orang Melayu.

Usaha memujuk Pas untuk kembali ke meja rundingan gagal apabila Pas bertegas mereka tidak akan berbuat demikian disebabkan sukar memaafkan perbuatan DAP dan ‘pembelotan’ pemimpin-pemimpin PAN.

Bagaimanapun bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, ibarat pucuk dicita ulama mendatang, impian pembangkang khu­sus­nya DAP untuk menambah kekuatan menjadi kenyataan apabila UMNO selagi lagi dilanda pergolakan.

Puncanya hanya satu iaitu kekecewaan oleh pemimpin yang tersingkir daripada Kabinet dan parti. Dengan sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Presiden manakala anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dilantik sebagai Timbalan Presiden PPBM.

Seperti juga sejarah S46 dan PKR yang bergabung dengan DAP untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), situasi yang sama berulang apabila pemimpin-pemimpin PPBM bersedia melupakan segala ‘dosa’ dan caci maki hamun mereka terhadap pemimpin DAP dengan menandatangani memorandum persefahaman pakatan pembangkang yang turut disertai oleh PKR dan PAN.

Tindakan PPBM sekali lagi memungkinkan putaran sejarah politik berulang dengan menyaksikan parti-parti yang pemimpin mereka kecewa dengan UMNO akhirnya bersekutu dengan pembangkang khususnya DAP. Segala-galanya dilakukan bukan kerana rakyat dan negara tetapi demi mencapai matlamat politik yang berasaskan politik balas dendam.

Kini buat sementara pakatan pembangkang bergabung tanpa Pas. Itu juga bermakna BN yang UMNO menjadi tonggaknya akan terus berhadapan dengan gabu­ngan pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Pelbagai nama sudah digunakan oleh pembangkang iaitu Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan terbaharu, Pakatan Harapan.

Tanpa mahu menafikan keku­atan yang boleh terbentuk hasil kesepakatan berkenaan jika dilihat kepada keputusan PRU 2008 dan 2013 namun apa yang pasti gabungan pembangkang masih tetap bercelaru dari segi hala tuju untuk memerintah Malaysia.

Tiada kesepakatan yang jelas dari segi pembahagian kerusi dan siapa yang bakal menjadi ‘abang besar’ atau ‘taiko’ dalam pembangkang. Setakat ini berdasarkan kepada keputusan pilihan raya, DAP memiliki kerusi paling ba­nyak di peringkat Parlimen berban­ding PKR manakala PAN dan PPBM boleh dianggap tiada kerusi kerana kesemua ahli Parlimen sebelum ini menang atas tiket Pas dan UMNO.

Persoalannya, bagaimanakah corak pembahagian kerusi pembangkang selepas ini? Bersediakah DAP dan PKR memberikan kerusi mereka kepada PAN dan PPBM? Siapa yang akan bertan­ding kerusi paling banyak? Adakah PPBM bersedia untuk mengalah kepada PKR dan PAN?

Secara faktanya, dalam pakatan pembangkang terdapat tiga parti yang layak untuk bertan­ding di kawasan pengundi majoriti Melayu iaitu PKR, PAN dan PPBM manakala Pas yang juga parti pembangkang kini bergerak solo serta sudah menyatakan ketegasan bahawa parti itu tidak akan mengorbankan kerusinya kepada PAN. Malah dalam situasi politik sekarang PKR pun sudah pasti tidak akan menyerahkan kerusi kepada PAN dan PPBM.

Oleh itu dalam pakatan pembangkang yang betul-betul selesa hanyalah DAP kerana mereka sudah pasti tidak akan mengorbankan kerusi di kubu kuat mereka.

Berikutan senario itu ditambah pula dengan prestasi MCA dan Gerakan yang dilihat masih gagal menarik sokongan pengundi Cina, maka DAP dalam apa ke­a­daan pun, tidak kira pembangkang berjaya menguasai Putrajaya atau tidak dalam PRU akan datang, DAP tetap ‘taiko’ dalam pembangkang manakala sehebat manapun PKR, PAN dan PPBM mereka perlu bersedia untuk menjadi ‘pak turut’.

Hujahnya mudah iaitu ketiga-tiga parti itu tidak akan berupaya atau ‘tidak akan diizinkan’ memenangi kerusi lebih daripada DAP!

utusan
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment