PAS bukan keliru, Mahathir yang mungkin sesat

Nampaknya, PAS tidak percaya pada poligami politik. Ini kerana dalam menegakkan prinsip politik matang dan sejahtera, PAS melayan wawasan yang jelas – ia tidak boleh rambang mata dalam memilih pasangan politiknya.

PAS sudah berpengalaman luas dalam usaha menyulam kerjasama dengan parti politik lain. Ia pernah menganggotai Barisan Nasional, gabungan Parti Alternatif, Gagasan Rakyat dan juga Pakatan Rakyat.

Pengalaman ini melentur PAS supaya lebih teliti dalam memilih gandingan politik kerana ia insaf apakah kesannya jika jalinan politik tidak menjadi. Bukan sahaja ia akan mengecewakan rakyat tetapi melunturkan nama baiknya sendiri.

Justeru soal pegangan atay prinsip calon gandingannya amatlah penting bagi PAS. Dek usaha Ketua Umum PKR . Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dan selepas pilihanraya umum 2008, PAS memilih menyertai Pakatan Rakyat.

PAS terkesima dengan tawaran Anwar Ibrahim bahawa konsep “setuju untuk bersetuju” akan tetap menjadi hak setiap kerabat pakatan itu. Ini termasuk menentukan ideologi perjuangan masing-masing.

Meskipun sudah menandatangani persetujuan dengan DAP di ambang pilihanraya ke-13 pada 2013, PAS amat kecewa apabila parti dominasi Cina itu  tidak menghormati cita-citanya mahu melaksanakan perundangan Islam.

Malah kegelisahan DAP terhadap PAS yang mahu melunaskan tanggungjawab agamanya itu mencapai kemuncaknya apabila DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur kerana perbedaan ideologi ini.

Malangnya, pengatur jodoh PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat berbuat banyak untuk mengekalkan solidariti Pakatan itu kerana beliau sudahpun dipenjara di Sungai Buloh.

Maka tinggallah PAS sendirian mengemudi haluan politiknya dan dikhianati pula oleh beberapa pemimpin ‘profesionalnya’ yang memilih meninggalkan PAS dan membentuk Parti Amanah Negara (PAN).

Lantas dalam uzlah politiknya itu, PAS berusaha secara tabayyun meneliti gerak dan prinsip parti-parti politik pilihan untuk diajak berganding menempuh pilihanraya umum ke-14. Namun kebanyakannya masih meragukan.

Maka tidak hairanlah jika PAS tidak akan menjalin hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti pimpinan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyertai Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, PAS menetapkan pra-syarat tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan PAN dan DAP.

 “Jika Bersatu (PPBM) berhasrat bersama PAS dalam satu gagasan politik, mereka seharusnya tiada hubungan dengan pihak lain. Itu jelas,” kata Takiyuddin.

Namun PAS, katanya, akur bahawa ia tidak berhak untuk menghalang PPBM untuk menyertai PH. Majlis presiden PH dijadualkan akan membincangkan penyertaan PPBM esok, Rabu 13 Disember.

“Bersatu (PPBM) dan PAS, masing-masing adalah parti politik. Jika PPBM memilih bersama Pakatan Harapan, itu hak mereka.

“Kita tidak boleh mempertikaikan tetapi ini bermakna persefahaman politik antara PAS dan PPBM sudah tidak wujud,” kata Takiyuddin.

Tambahan pula, lagak PPBM aristokratik. PPBM dipimpin oleh personaliti seperti Mahathir yang 22 tahun menjadi perdana menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah mendapat tempat istimewa dalam kerajaan dan Umno.

Apabila menubuhkan PPBM, Mahathir terutamanya berasa ia sudahpun berjaya mengumpulkan kudrat baru di kalangan parti-parti pembangkang. Justeru secara naluri beliau bertindak seolah-olah seorang Demang Politik.

Tanpa segan silu dan mungkin didorong naluri untuk “menunjuk-nunjuk” di hadapan pemimpin DAP minggu lalu, Mahathir menyatakan PAS patut diberi tempoh tertentu untuk menyertai PH.

Anehnya, parti pimpinannya sendiri belum tentu diterima menjadi kerabat PH. Minggu beerikutnya, mungkin sekali lagi “dirasuk keinginan untuk menunjuk-nunjuk kuasa dan pengaruh”, Mahathir menyifatkan PAS keliru pula.

Tidak salah jika dikatakan bahawa maksud Mahathir sebenarnya untuk menyatakan bahawa PAS masih bingung untuk membuat pilihan bergabung menghadapi pilihanraya umum bersama PH atau BN.

Dalam percubaan mengemudi DAP, PKR, Amanah dan PAS, Mahathir mahu keputusan politik dibuat ikut gayanya seraya memberi kata-dua sama ada PAS ikut atau ditinggalkan PH. Beliau tidak mahu PH menunggu lagi.

Respon PAS agak menarik. PAS tidak pernah meminta PPBM menunggu sehingga ia membuat keputusan muktamad berhubung isu itu, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, PAS kini giat memperkasakan jentera bagi menghadapi PRU14 berbanding kerjasama dengan parti Mahathir.

"Kita tidak tunggu PPBM pun,” kata Tuan Ibrahim sambil menegaskan bahawa pilihan raya ialah pengalaman yang PAS lazim lalui sebagai pembangkang.

"Kerjasama politik dengan mana pembangkang sekalipun mestilah mempunyai asas dan kekuatan," katanya.

Beliau menerangkan perbincangan dengan PPBM bukan untuk bersama PH cuma untuk melihat apa yang boleh diperjuangkan bersama dalam blok pembangkang.

"Bagi PAS kita sudah ada Blok Ketiga Gagasan Sejahtera. PAS akan tengok siapa bersama PAS," katanya merujuk pada pertemuan di antara kepimpinan PAS dan presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin September lalu.

Malah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PPBM boleh menjalin kerjasama dengan PH tanpa perlu menunggu PAS.  
 
"PAS tidak perlukan PPBM. Mereka boleh sahaja bersama PH. PAS menerajui Gagasan Sejahtera sebagai satu lagi blok politik pembangkang. Menerusi Gagasan Sejahtera, PAS membawa politik matang dan sejahtera yang mengkritik dasar-dasar kerajaan dan memberikan cadangan penyelesaian.
 
"Dr Mahathir baru sahaja belajar menjadi pembangkang. Beliau boleh belajar menjadi pembangkang tegar seperti PH yang membangkang apa sahaja dan bermain politik kepartian sepanjang masa," kata beliau.

Pendirian PAS jelas. Politik bukan ikut nafsu. Gertak menggertak bukanlah jalan atau tabiatnya. PAS lebih matang daripada politik terjah Mahathir. Sudah pasti ia tidak keliru jalan mana mahu ditempuhi.

Hanya mungkin Mahathir dan PPBM sebenarnya yang sesat dalam menelurusi jalan menjadi pembangkang yang dikiranya akan bungkam dan terkesima dengan sifat aristokratiknya.

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL