Peringatan MB Johor kepada DAP…

Saya ingin sekali mengambil kesempatan ini memberi peringatan dan nasihat baik kepada semua, khususnya wakil rakyat DAP.

Barisan Nasional telah memimpin negara ini dengan cara yang sangat sederhana. Model kita telah teruji. Semua kaum mempunyai tempat yang selayaknya dalam Malaysia yang berubah ini. BN telah menjadikan Malaysia ini sebuah negara kesepakatan yang berjaya.

Sedangkan DAP selama ini dilihat hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja, iaitu kepentingan masyarakat Cina. Sepanjang kewujudan DAP, sehinggalah hari ini, DAP tidak pernah sekali pun mengemukakan pencerahan dan cadangan bagaimana mereka akan membantu bangsa Melayu dan India untuk lebih berdaya saing.

Lihat sahaja kesenjangan di Pulau Pinang. Jurang antara orang Cina dan orang Melayu dan India bukan sahaja semakin melebar, malah membahayakan.

Ia menyumbang kepada polarisasi dan polarisasi adalah ancaman kepada keselamatan.

Sehingga sekarang, sudah hampir dua penggal, Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP memerintah namun mereka belum pernah mengemukakan sebarang Pelan untuk memajukan orang Melayu dan India di negeri tersebut.

Dan kerana itulah, saya yakin DAP tidak akan sesekali dapat menarik sokongan orang Melayu dan India di Johor ini.

Sifat perkauman yang sangat menebal dalam agenda dan sikap politik DAP adalah sebab paling utama kenapa DAP mesti ditolak di Johor. DAP dan agendanya tidak sesuai dengan aspirasi Bangsa Johor dan Muafakat Johor. Dan pastinya tidak secocok dengan Agenda Johor Berkemajuan.

Lihat sahaja bagaimana DAP telah ditolak oleh kaum Cina sendiri dalam Pilihanraya Sarawak yang lepas. Hasrat DAP untuk menerobos dan bertapak di kawasan pendalaman Sarawak  juga gagal dengan teruknya.

Apakah kepimpinan DAP beranggapan bahawa dengan menarik hanya beberapa remaja Melayu yang rupawan dan jelita, maka ia terus menjadikan mereka parti yang ‘multiracial’ serta mampu mewakili kepentingan Melayu?

Kita boleh tanya ahli-ahli Pembangkang dari PAS. Mereka pernah tidur sebantal dengan DAP. Jadi saya yakin mereka boleh memberi pencerahan akan sikap sebenar DAP dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, nasib orang India dan pastinya nasib agama Islam.

Jadi, dalam Dewan ini saya berikrar yang saya akan melakukan apa yang BN Sarawak telah berjaya lakukan. Iaitu menjadikan perwakilan DAP sekadar kenangan sahaja di Dewan yang mulia ini.

Saya yakin, kita semua masih ingat. Tahun lalu ada rakan-rakan DAP dari Selangor menuduh kita meniru bajet mereka. Walaupun hakikatnya Johor memperkenalkan pelbagai rantaian inisiatif yang baharu, yang progresif dan inovatif. Yang tidak pun wujud di Selangor.

Yang pelik bin ajaibnya tahun ini, DAP di Johor pula yang lebih terkinja-kinja menggesa dan menyuruh Johor meniru Selangor dan Pulau Pinang. Sehinggakan, kalau ikut pandangan Stulang, kita ini bermain selamat, terlalu berhemat dan berbelanja pada zon selesa. Sedangkan kita memerlukan bajet yang defisit, dan seharusnya mencontohi Selangor dan Pulau Pinang.

Saya benar-benar tidak faham dan tidak pasti dengan pendirian DAP. Lihatlah percanggahan mereka di sini.

Stulang menyuruh kita merangka bajet defisit dan jangan berasa selesa. Tetapi Pengkalan Rinting pula mengatakan kita ini syok sendiri dan tidak layak pun bergembira kerana bajet kita bukannya surplus, tetapi defisit.

Jadi, saya tidak pasti  apa yang mereka mahu sebenarnya. Cuma, yang saya pasti, perangai begini, namanya lidah bercabang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana