"Perbezaan Antara Tun M dan Saya..."

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perbezaan di antaranya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ialah beliau mempunyai hubungan secara langsung dengan kepimpinan Umno bahagian.

"Itulah yang membezakan saya dengan Tun Dr Mahathir," katanya sambil menambah, "Dr Mahathir bergerak secara basisnya menerusi menteri-menteri besar dan ketua menteri yang merupakan ketua-ketua badan perhubungan Umno negeri yang kemudiannya mempunyai pengaruh ke atas ketua-ketua bahagian."

"Sebaik sahaja seorang menteri besar itu tidak lagi berkuasa, beliau (Dr Mahathir) tidak mempunyai hubungan dengan ketua-ketua bahagian ini lagi malah beliau tidak mengenali sebahagian besar daripada kepimpinan bahagian. Anda akan terkejut jika saya katanya nama-nama ketua bahagian pun beliau tidak tahu..," kata Najib dalam temuramah khas dengan Kumpulan Media Star di Seri Perdana, pada Sabtu.


Najib ditemuramah oleh (dr kiri) Ketua Pengarang The Star Datuk Leanne Goh, Pengarang Bersekutu Joceline Tan, Pengarang Eksekutif mStar Rozaid A.Rahman dan Wartawan Kanan, Razak Ahmad di Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu.


Najib menjelaskan demikian ketika ditanya, bagaimanakah beliau berhadapan dengan cabaran dan tekanan serta kritikan demi kritikan terutamanya daripada pemimpin veteran seperti Dr Mahathir sejak setahun yang lalu.

Menurut Najib, berbeza dengan Dr Mahathir, beliau adalah sebahagian daripada mereka (kepimpinan Umno di peringkat bahagian).

"Saya membesar di dalam politik bersama-sama mereka sejak 40 tahun yang lalu. Saya adalah sebahagian daripada mereka dan mereka melihat saya bukan sahaja sebagai ketua tetapi sebagai sahabat dalam politik. Misalnya esok (Ahad) saya akan bertemu 300 hingga 400 pemimpin dari peringkat bahagian. Sesetengahnya adalah ketua bahagian dan ada juga yang terdiri daripada timbalan ketua bahagian".

Menurut Najib lagi, beliau tidak bergantung semata-mata kepada menteri besar dan ketua menteri tetapi hakikatnya beliau mempunyai hubungan secara langsung dengan kepimpinan bahagian.

"Saya menyertai politik pada usia 23 tahun. Jadi sudah lebih 40 tahun saya berkecimpung dalam politik dan ini memberi banyak kelebihan kerana saya bergaul dengan lebih daripada dua generasi kepimpinan parti," ujarnya.

Bagi Najib, inilah sebab mengapa Dr Mahathir gagal untuk menjatuhkannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno - sebahagian daripada sebabnya adalah kerana faktor tersebut.

Tegas Najib lagi, Dr Mahathir juga memerintah dengan “fear factor”.

“Beliau perintah dengan menerapkan faktor ketakutan. Sebaik sahaja tidak lagi menjadi presiden parti dan faktor takut kepadanya itu tidak ada lagi, dan keupayaan untuk mengawal kepimpinan parti juga sudah tiada, beliau tidak dapat menentukan perkara-perkara penting dalam parti.

"Ya terdapat rasa hormat tetapi bukan rasa takut,” jelas perdana menteri.

Menurut Najib ketika beliau bertemu dengan Lee Kuan Yew pada 2009, bekas perdana menteri Singapura itu menyamakan Dr Mahathir sebagai seorang peninju heavyweight yang akan terus dan terus menumbuk lawannya sehingga lembik.

“Beliau (Dr Mahathir) obses dalam melakukan sesuatu mengikut caranya. Saya sudah menjangkakan yang beliau akan menyerang saya tapi apa yang saya tidak jangkakan ialah kekikiran reaksinya ke atas saya.

"Saya andaikan bahawa itu adalah sebahagian daripada sikap sebenar beliau. Melainkan beliau memiliki kekuasaan sepenuhnya, kita boleh jangkakan yang beliau tidak akan berhenti menyerang.

"Dan analisis Lee Kuan Yew terhadapnya adalah yang paling tepat,” kata Najib lagi.

Menurut Najib, itu adalah merupakan contoh terbaik politik Machiavellian.

Kemuncak kepada hipokrasi ini dapat dilihat apabila Dr Mahathir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang dan berjabat tangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelas Najib.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana