“MAHATHIR DAN PEMAKAN DEDAK”....

JIKA sebelum ini ramai para pemerhati amat berminat dan meletakkan pelbagai kemungkinan terhadap PAS bergabung untuk menentang BN pada pilihan raya umum akan datang, namun akhirnya ia musnah serta merta selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh parti Islam itu makan “dedak”.

Bercakap di hadapan lebih 1,000 orang di konvensyen pertama Pakatan Harapan di Shah Alam semalam, bekas perdana menteri itu berkata mana-mana parti yang cuba menghalang impian parti pembangkang untuk menewaskan BN – realitinya ia adalah penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak menamakan parti mana, namun pastinya PAS yang masih belum bersetuju untuk bersama-sama dengan DAP, PKR dan PAN bagi menentang BN menjadi sasaran utama lensa pemerhati politik.

“Mereka mendakwa berjuang untuk orang Melayu. Sebenarnya mereka sokong Najib. Mungkin mereka terima dedak.

“Anda tak boleh kata tak mahu sertai Pakatan kerana DAP salah satu parti komponennya. Itu bukan alasan sebenar,” katanya.

Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, DAP dan PKR terkubur tahun lalu selepas pergaduhan serius antara PAS dan DAP. Kesannya, DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan dengan PAN, sebuah parti baharu yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang anti kepada Datuk Seri Hadi Awang dan kumpulan Ulamak.

Bagaimanapun, dalam pentas yang lain, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah cuba untuk bergabung dengan PAS, dan berharap parti Islam itu akan menyertai pakatan mereka menentang Najib dan kerajaan BN.

Namun, Hadi selaku Presiden PAS berkali-kali menyatakan parti itu tidak akan mengulangi kesilapan bekerjasama dengan DAP.

Ini susulan DAP menjadi penentang paling besar terhadap impian PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan dan meningkatkan syiar Islam di negara ini, hingga menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat.

Dr Mahathir semalam berkata, beliau dulu musuh terbesar pemimpin DAP Lim Kit Siang, tetapi itu perkara kecil berbanding usaha untuk menggulingkan musuh utama negara, Najib.

“Lupakan semua perbezaan kerana kita berdepan ancaman terbesar negara. Hanya kita boleh halang Najib daripada menyebabkan hutang negara bertambah, yang menjadi alasan Greece bankrap,” katanya.

Laporan berkenaan dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today semalam dan telah menggambarkan bahawa sikap sebenar Dr Mahathir sekiranya ada pihak tidak mahu mengikut kehendaknya.
Maka tidak syak lagi jika kita gelarkan Dr Mahathir ini sebagai seorang diktator yang mana hanya mahu pihak lain mengikut kehendaknya, sedangkan dirinya sendiri tidak pula mahu bersedia untuk menjadi pengikut.

Sekiranya ada pihak yang cuba tidak mahu bersetuju atau mengikut kehendak Dr Mahathir, maka beliau dengan rasa tidak bersalah akan menggelarkan mereka itu sebagai “makan dedak”.
Adakah ini tahap respek seorang Negarawan kepada mereka yang tidak sehaluan dengan dirinya? Kemana hilangnya konsep demokrasi yang harus meraikan perbezaan pandangan yang dahulu menjadi prinsip Dr Mahathir?
Sesungguhnya, Dr Mahathir sudah mula lupa dan ini mungkin petanda bahawa dirinya tidak lama lagi… –Tv14

Comments

Popular posts from this blog

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL