Kampung Islam Rohingya dibakar...Mananya Aung San Suu Kyi yang Kata Hebat Dan Demokrasi Tu?

Beratus-ratus bangunan di perkampungan etnik Islam Rohingya di barat Myanmar telah dibakar, demikian menurut imej satelit yang disiarkan semalam ketika pertempuran baharu meletus di rantau bergolak itu.

Pihak tentera menutup kawasan Rakhine Utara yang didiami etnik Rohingya dan bersempadan dengan Bangladesh selepas sembilan anggota polis maut dalam serangan mengejut ke atas beberapa pos sempadan bulan lalu.

Tentera Myanmar didakwa membunuh berpuluh-puluh orang, menangkap ramai yang lain semasa memburu kumpulan penyerang itu. Pemerintah Myanmar berkata, siri serangan itu dilakukan oleh pejuang radikal Rohingya yang mempunyai hubungan dengan militan luar negara.

Menurut pihak tentera, pertempuran baharu meletus kelmarin dengan dua askar dan enam penyerang terbunuh. Tentera Myanmar juga mengerahkan beberapa helikopter tempur untuk mematahkan satu serangan hendap.

Imej satelit baharu yang disiarkan oleh kumpulan pemantau hak asasi manusia antarabangsa, Human Right Watch (HRW) menunjukkan bukti perbuatan membakar kediaman dalam serangan ke atas kampung-kampung yang didiami etnik Rohingya.

Berdasarkan analisis HRW, lebih 400 bangunan dibakar di tiga perkampungan Rohingya di mana pertempuran berlaku.

HRW berkata, kebakaran aktif dan kesan rentung menunjukkan kebanyakan bangunan musnah akibat pembakaran sengaja. Imej baharu itu dirakam pada 10 November lalu.

Pengarah HRW Asia, Brad Adams berkata, gambar-gambar itu memaparkan kemusnahan yang lebih meluas berbanding sangkaan sebelum ini.

“Pihak berkuasa Myanmar perlu menubuhkan siasatan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai langkah pertama dalam memastikan bahawa mangsa-mangsa mendapat keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kewujudan semula keganasan di negeri Rakhine menyebabkan krisis antara etnik Rohingya dan penduduk beragama Buddha kian meruncing. Krisis tersebut menjadi cabaran getir buat pentadbiran baharu Myanmar yang diterajui aktivis demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Rakhine dibelenggu ketegangan agama sejak letusan keganasan antara populasi Buddha dan etnik Rohingya pada 2012 yang meragut lebih 200 nyawa.

Krisis itu dan laporan pencabulan hak asasi manusia secara berleluasa oleh pasukan keselamatan mendorong masyarakat antarabangsa meningkatkan terkanan terhadap kerajaan awam Myanmar di samping menimbulkan kesangsian tentang keupayaannya mengawal tentera.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment