Harga bahan api naik, PAS saran kerajaan tetapkan harga siling

SHAH ALAM: Kerajaan sewajarnya menetapkan harga siling bahan api bagi mengelakkan rakyat terus terbeban dengan kenaikan harganya yang ditentukan berdasarkan sistem apungan terkawal.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana sistem apungan terkawal akan sentiasa mendedahkan rakyat kepada kenaikan harga petrol secara berterusan.

Malah saran Nasrudin, kerajaan mesti menampung lebihan kos daripada harga siling tersebut dengan subsidi terhadap bahan api berkenaan.

"Harga baru ini juga tidak bertepatan dengan harga semasa minyak mentah global yang berada pada purata harga AS$43.93 setong setakat ini dan bagi keseluruhan tahun 2016 ia diunjurkan berada pada purata harga AS$44.78 setong; dianggap masih rendah kerana berada di bawah paras AS$50 setong.

"Bahkan, harga bahan api ini meneruskan kejatuhannya hari ini selepas pengeluar bukan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak menyatakan sebarang komitmen untuk menyertai usaha mengehadkan paras output bagi meningkatkan harga bahan api itu.

"Jadi, mengapa Kerajaan masih menaikkan harga runcit bahan api ini?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 15 sen seliter mulai hari ini (1 Novemver).

Harga runcit baru bagi RON95 ialah RM1.95 seliter dan RON97 pula RM2.30 seliter. Manakala harga runcit baru bagi diesel pula RM1.90 seliter.

Dalam pada itu tambah Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, kerajaan wajar mengkaji semula formula penentuan harga petrol dan diesel, dengan mengambil kira aspek perubahan harga minyak global, rizab penampan negara dan kadar inflasi tempatan sebagai faktor penentu.

"Sewajarnya, dalam keadaan rakyat terpaksa berjimat, kerajaan perlu lebih berhemat.

"Selain dikaji saiz kabinet yang terlalu besar, setiap Menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan 20% gaji bulanan, serta memulangkan elaun minyak, tol, percutian, dan keraian, supaya mereka dapat merasai bebanan golongan bawahan," katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dan diesel akan ditetapkan mengikut sistem pengapungan terkawal, bermula 1 Disember 2014. Sistem yang sama digunapakai untuk menentukan harga RON97 sejak Julai 2010.

Kerajaan berkata pelaksanaan apungan terkawal dalam menentukan harga bahan api runcit berasaskan harga minyak mentah dunia mampu memberi penjimatan sehingga RM 20 bilion setahun, yakni penjimatan tersebut boleh digunakan untuk pembangunan sosioekonomi negara.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment