UMNO Tambun tunggu dan lihat tindakan pelik Ahmad Husni

Dalam politik macam-macam boleh jadi... ada kawan yang berkelakuan macam lawan, dan ada lawanperangai macam kawan.

Semuanya serba mungkin, sebab itu ramai pemerhati politik geleng kepala tengok Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah 'menyerang' 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Husni patutnya lebih faham sebab dia bekas Menteri Kewangan Kedua dan kawan baik Datuk Seri Najib Razak.

Bagi yang tau sejarah UMNO, Ahmad Husni adalah Exco Pemuda zaman Najib dan antara leftenan kepercayaannya.

Sebab itu ramai pelik, apabila Ahmad Husni tiba-tiba naik 'darah'.

Apakah ada kaitan dengan kes hendak kena tukar kementerian yang berakhir dengan penarikan diri beliau daripada semua jawatan politik?

Ahmad Husni dalam rambokan Kabinet terakhir, enggan berpindah kementerian dan memilih untuk berundur, meletak jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Ketua Bahagian Tambun.

Katanya beliau mahu belajar agama dan memberi tumpuan kepada keluarganya.

Bagi Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, tindakan bekas Menteri Kewangan II itu yang menyerang 1MDB di Dewan Rakyat baru-baru ini bukan suara UMNO Tambun.

Menurut beliau, ia merupakan pandangan peribadi Ahmad Husni sendiri yang mungkin berpendirian bahawa beliau juga mempunyai pendapatnya sendiri mengenai 1MDB.

“Ahli-ahli UMNO Tambun terkejut dan tidak sangka Ahmad Husni mempertikaikan 1MDB di Parlimen. Ia satu tindakan yang pelik dan janggal.

“Ini kerana sejak dipertanggungjawabkan menjaga 1MDB sejak tahun 2014, beliau sentiasa bercakap positif mengenai 1MDB. Beliau sering kali menegaskan 1MDB satu entiti perniagaan yang walaupun ada masalah tapi ada jalan penyelesaian dan ia merupakan pelan rasionalisasi.

“Tapi tiba-tiba beliau mempertikaikan 1MDB di Parlimen sedangkan 1MDB di bawah portfolio beliau dahulu. Ini pelik dan ahli UMNO keliru kerana selama ini kami diyakinkan oleh beliau mengenai 1MDB,” katanya dipetik Utusan.

Menurut Aminuddin, ekoran isu tersebut, UMNO bahagian itu mengadakan mesyuarat khas semalam membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata, dalam mesyuarat tersebut tiada desakan supaya tindakan dikenakan terhadap Ahmad Husni ekoran kenyataannya di Parlimen.

Kata beliau, ini kerana Ahmad Husni merupakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan masih ahli UMNO.

“Rumusan daripada mesyuarat semalam, kami mengambil pendirian tunggu dan lihat dalam isu kenyataan Ahmad Husni di Parlimen.

“Kami menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti dalam isu ini,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Ahmad Husni yang mempersoal keputusan kerajaan mengenai 1MDB ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment