Tidak Yakin Dengan PPBM Punca Khairuddin Keluar Parti - Ismail Sabri

BERA: Tindakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menunjukkan beliau tidak mempunyai keyakinan terhadap masa depan parti itu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Khairuddin yang merupakan orang kuat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pasti akan kekal dalam parti itu jika beliau yakin parti tersebut mampu menjatuhkan Umno.

"Khairuddin merupakan antara orang terpenting dalam peringkat awal penubuhan PPBM, (beliau) paling ke hadapan dan dari mula terlibat dengan Tun M (Mahathir), deklarasi rakyat dan kumpulan penjana untuk tubuhkan parti.

"Tapi bila beliau keluar parti, saya percaya beliau sudah hilang keyakinan dan bila beliau keluar parti, walaupun (usia parti) baharu setahun jagung sudah nampak wujud perpecahan di dalamnya," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas merasmikan Fiesta Bera 5 di Dataran Kerayong, di sini Sabtu.

Pada Khamis, Khairuddin mengumumkan dirinya keluar daripada PPBM berkuat kuasa serta-merta dengan alasan 'pemergiannya' adalah untuk membolehkannya memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapinya dan melawan segala korupsi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir selaku pengerusi PPBM yang ditemui media pada Jumaat, mengesahkan beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan itu dan perlu 'bercakap sendiri' dengan Khairuddin untuk mengesahkan berita tersebut.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap masyarakat luar bandar dapat menilai dan mengambil iktibar daripada keputusan Khairuddin untuk tidak mudah mempercayai agenda yang dibawa PPBM dan hala tuju parti itu pada masa depan.

Mengulas mengenai Fiesta Bera 5, Ismail Ssbri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata program itu berperanan sebagai platform untuk mengetengahkan bidang keusahawanan kepada masyarakat khususnya golongan muda, dan bukannya sekadar hiburan.

"Terdapat perkongsian ilmu daripada tokoh-tokoh keusahawanan, penerangan daripada agensi yang terlibat dengan keusahawanan. Usahawan yang telah mempunyai produk juga diberi peluang mempromosikan produk mereka.

"Program keagamaan juga diadakan pada hari pertama iaitu Jumaat melibatkan aktiviti seperti forum perdana, pertandingan imam cilik dan nasyid. Ini memberi peluang penduduk untuk berkumpul secara santai sambil mengeratkan silaturahim," katanya.

Ismail Sabri berkata Fiesta Bera yang dianjurkan sejak 2009 juga berkesan mempromosikan daerah itu kepada penduduk sekitar memandangkan fiesta itu turut dikunjungi penduduk daerah berhampiran termasuk dari Negeri Sembilan.


Fiesta tiga hari itu yang berakhir esok, dijangka menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana