Puak Temiar Terus Membantah Aktiviti Pembalakan

GUA MUSANG: Puak orang asli Temiar terus mengadakan sekatan dekat hutan simpan Balah bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan itu sejak minggu lalu selain menamakan lokasi terbabit sebagai Kampung Blockade (sekatan).
Kira-kira 200 penduduk berkumpul di kira-kira 10 kilometer dari kawasan pengumpulan kayu balak dan mereka membina pusat kawalan untuk melakukan pemeriksaan selain menghalang lori yang membawa balak keluar dari kawasan tersebut.
Malah orang luar yang memasuki kawasan tersebut termasuk media diminta memberikan butiran peribadi manakala beberapa penduduk orang asli bersedia untuk mengambil gambar dan video pengunjung luar.
Wakil penduduk tersebut, Limit Lias berkata, penduduk kampung sudah penat mengalah dan menjadi mangsa keadaan pada setiap masa.
"Kali ini kami bersatu untuk mempertahankan kawasan kami dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kami juga menamakan kawasan sekatan ini sebagai Kampung Blockade," katanya.
Seorang daripada pemimpin puak tersebut, Azmi Badol berkata, mereka berjaya menghalang tiga buah lori yang mengangkut balak daripada meninggalkan kawasan itu.
Selain itu, Azmi menjelaskan, pihaknya hanya berunding dengan kerajaan negeri Kelantan.
"Kami berbesar hati jika Menteri Besar dapat hadir melihat sendiri kemusnahan yang berlaku di sini.
"Kami tidak boleh lagi bertolak ansur. Kami meminta arahan menghentikan aktiviti pembalakan dikeluarkan dan satu panel ditubuhkan untuk menilai kemusnahan tersebut," katanya sambil bertegas bahawa kesemua penduduk bersedia untuk ditahan pihak polis.
Minggu lalu, timbul kekecohan antara penduduk orang asli dengan kumpulan pembalak sehingga memaksa campur tangan daripada pihak polis.
Insiden itu tercetus apabila pihak orang asli tidak membenarkan lori balak keluar dari hutan tersebut manakala kumpulan pembalak mengancam untuk merobohkan sekatan terbabit.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment