Kenyataan Mahathir Bersifat 'Politik Tidak Sihat' - Presiden Gerakan

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan Barisan Nasional di tiga negeri bakal tumbang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 adalah 'politik tidak sihat'.

Beliau berkata, perubahan pucuk kepimpinan dan pentadbiran sesebuah negeri hanya boleh diputuskan melalui proses demokrasi iaitu PRU dan bukan dengan menukar wakil rakyat sesuka hati.

"Adalah tidak wajar baginya menyatakan perubahan kerajaan akan berlaku di Perak, Terengganu dan Johor. Itu tak betul.

"Pada pilihan raya akan datang, biarlah rakyat yang memilih," katanya sambil meminta bekas perdana menteri itu supaya memberi peluang kepada kerajaan Barisan Nasional untuk terus mentadbir dengan mandat rakyat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Nasional 2016 Gerakan di sini, Sabtu.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe menyelar pemimpin dan parti pembangkang yang sanggup bertukar 'pasangan politik' demi memenuhi sifat gila kuasa dan kedudukan.

"Lantaran gila kuasa dan kedudukan, mereka sanggup 'bertukar pasangan'. PAS diceraikan (merujuk kepada DAP dan PKR) dan kini bergabung dengan Parti Amanah Negara, parti serpihan PAS, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Suatu ketika dahulu, mereka sesama mencaci dan meludah, kini berjabat dan berpelukan atas kepentingan peribadi masing-masing," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Parti Gerakan di Menara PGRM di sini, Sabtu.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Presiden Gerakan, Dr Cheah Soon Hai. Turut hadir Setiausaha Agung parti, Datuk Lian Teck Meng dan Ketua Pemuda, Tan Keng Liang.

Berikutan itu, Lian Hoe berkata, rakyat harus bijak menilai 'perjuangan' parti-parti pembangkang yang hanya menabur janji manis walaupun telah diberi peluang memimpin.

Beliau berkata, pembangkang juga tidak membantu dalam mengatasi tempias kelembapan ekonomi dunia terhadap negara, ancaman Daesh, kos sara hidup yang semakin tinggi serta membendung penyakit seperti Zika dan denggi.

"Sepatutnya mereka turut bersama merancakkan ekonomi dan pembangunan negara demi kesejahteraan masa depan rakyat dan anak cucu cicit kita. Bukan memutarbelitkan fakta, mensabotaj, menghasut, memfitnah, menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan di alam siber.

"Apa faedahnya mengajak rakyat berdemonstrasi di jalanan dan bertembung untuk mencetuskan ketegangan menggugat perpaduan, memburukkan keadaan ekonomi semata-mata ingin menjatuhkan kepimpinan negara," katanya.

Mengenai persiapan PRU, Lian Hoe berkata Wanita Gerakan sedang mengatur strategi yang rapi dan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya. - Bernama
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment