Pergaduhan terbuka adik-beradik Morais, Richard tuduh Charles lari cukai

SELEPAS Charles Morais menggelarnya “penjahat”, Datuk Richard membalas dengan mengatakan abangnya itu sebenarnya “penipu” selepas disiasat kerana mengelak cukai di Amerika Syarikat (AS), 4 tahun lalu.

“Google Charles Morais dan baca segala-galanya tentang aktiviti jenayahnya di AS, dari situ rakyat Malaysia boleh nilai dia serta-merta,” katanya kepada The Malaysian Insider menerusi sistem pesanan ringkas.‎

The Malaysian Insider membuat carian di Internet mengenai Charles Morais dan menurut portal berita LancasterOnline, Charles pernah menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) Kronos Hotels and Resorts, empayar perhotelan yang maju tetapi mula menunjukkan tanda kejatuhan pada 2007. Beliau kemudian diburu kerana mengelak cukai dan disaman vendor serta pemberi pinjaman kerana tidak dibayar.

Charles, yang tinggal di Atlanta, Georgia menimbulkan kekecohan pada Rabu apabila beliau mengeluarkan akuan berkanun (SD) 18 muka surat di mana beliau mendakwa pembunuhan abang sulungnya, bekas timbalan pendakwa raya Kevin Morais ada kaitan dengan kertas pendakwaan yang sedang disediakan mangsa terhadap “seorang pegawai tertinggi kerajaan”.

Charles berkata Kevin memberinya satu pemacu pena, yang kini disimpan di AS, mengandungi maklumat mengenai kes sedang diusahakannya dan siapa sedang disiasat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada Charles supaya menyediakan bukti bersama tuduhan itu dan berkongsi maklumat dengan polis, sementara Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggelar dakwaannya itu sebagai berlebih-lebihan.

“Kita tahu siapa Charles Morais dan latar belakangnya. Kita tahu apa yang berlaku bila dia ke AS. Jadi, saya mahu mengingatkan dia supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas,” kata Khalid.

Richard memberitahu The Malaysian Insider polis patut menahan Charles kerana membuat tuduhan liar menerusi SD.

“Saya juga rasa polis patut tahan dia tidak lama lagi dan menjalankan siasatan terhadap tuduhan liarnya dan dakwa dia jika didapati menipu.”

Ketika mengumumkan SD pada Rabu, Charles berkata Richard “penjahat”, yang sanggup buat apa saja demi wang.

Kenyataan itu dibuat selepas Richard menuntut mayat Kevin dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) tanpa memberitahu mana-mana ahli keluarga, pada hari sama Charles memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bedah siasat kedua.

Charles berkata, beliau amat terkejut apabila pihak berkuasa di Hospital Kuala Lumpur dan polis nampaknya bersubahat dalam membenarkan mayat Kevin dikeluarkan dari rumah mayat oleh Richard apabila kedua-dua pihak tahu beliau (Charles) mahukan bedah siasat kedua dijalankan.

Charles juga mendakwa Richard bersekongkol dengan penjenayah terbesar di Kuala Lumpur membabitkan pembunuhan Kevin dan mendiang sudah lama tidak berhubung dengan dua adiknya iaitu Richard dan David sejak 2004.

Menolak kandungan SD abangnya itu, Richard memberitahu The Malaysian Insider Charles tidak termasuk dalam wasiat Kevin yang dibuat pada 2005, menambah beliau akan membuktikannya tidak lama lagi.

“Jika dia (Charles) rapat dengan Kevin dan bukan saya, mengapa namanya tidak ada dalam wasiat Kevin yang dibuat pada 2005?

“Saya akan tunjukkan wasiat itu tidak lama lagi kepada media untuk mereka lihat sendiri,” kata Richard.

Bagaimanapun, Richard enggan mengulas ketika ditanya apa yang dilakukannya terhadap mayat Kevin yang dituntutnya dari rumah mayat pada Isnin.

The Malaysian Insider juga masih menunggu respons daripada Charles.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana