Biografi Ringkas Allahyarham Y.A.Bhg. Tun Abdul Razak bin Dato’Hussein

PENGENALAN

Abdul Razak bin Hussein merupakan satu-satunya anak lelaki Dato’ Hussein Mohd Taib, Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang daripada isteri pertama Dato’ Hussein, Teh Fatimah binti Daud. Beliau dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang dan dibesarkan oleh datuknya yang sangat mementingkan nilai tradisi dan agama. Sungguhpun beliau berasal daripada golongan yang berada, sikap rendah diri dan sopan jelas nampak pada zaman persekolahannya. Beliau berkaki ayam di sekolah kerana tidak mahu terasing daripada sebahagian rakannya yang tidak mampu membeli kasut getah.

Semenjak kecil beliau merasakan kemunduran dan kemiskinan di desa di bawah pemerintahan Colonial British. Serta keperitan hidup ketika Jepun menduduki Tanah Melayu pada zaman remajanya. Kemungkinan besar, kepayahan anak bangsanya ketika itu telah memberi dorongan kepada Tun Abdul Razak Dato’ Hussein untuk membawa angin perubahan kepada rakyat Malaysia khususnya.

Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein Al-Haj merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari tahun 1970-1976. Namun, penglibatan beliau di dalam pembangunan negara dapat dilihat lebih awal sebelum itu. Tun Abdul Razak telah banyak membantu Malaysia dari segi ekonomi, pembangunan luar Bandar, hubungan antarabangsa, pendidikan dan perpaduan Rakyat.

Kronologi Perkhidmatan Tun Abdul Razak dalam Kerajaan

1951 Di lantik sebagai ahli tidak rasmi dalam Majlis Perundangan Persekutuan
1952 Di lantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
1955 Di lantik sebagai Pemangku Menteri Besar Pahang
1955 Menteri Pendidikan
1956 Delegasi Kemerdekaan Malaya ke United Kingdom
1957 Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan
1959 Menteri Pembangunan Luar Bandar
1969 Pengarah MAGERAN (Selepas Mei 13)
1971 Perdana Menteri Malaysia

Permulaan Sebagai Tokoh Negara

Sumbangan Tun Abdul Razak di dalam pembangunan Negara dapat dilihat semenjak zaman sebelum Merdeka. Ketika itu Tun Abdul Razak bersama Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia Pertama), berserta Delegasi Kemerdekaan telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Negara daripada British semenjak tahun 1950. Tanah Melayu ketika itu berada di bawah jajahan kolonial British yang kurang efisien. Delegasi Kemerdekaan inilah yang bekerja siang dan malam memerdekakan Negara daripada cengkaman penjajah.

Pada tahun 1952, kerjasama Politik Melayu-Cina telah ditubuhkan di antara UMNO (Parti Dominan Melayu) dan MCA (perwakilan Cina) dan dikenali sebagai Perikatan. Pada tahun berikutnya, MIC (Perwakilan India) telah menyertai Perikatan dan sekaligus membentuk Parti Politik yang cukup kuat untuk menerajui Negara.

Pada tahun 1955, Perikatan telah menyuarakan kehendaknya pada Kolonial British untuk mengadakan satu pilihanraya umum untuk membuktikan bahawa Malaya ketika itu sudah bersedia untuk Merdeka. Usaha mereka membuahkan hasil di mana Perikatan telah berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yg dipertandingkan. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan bermula dari saat inilah pembangunan Negara bermula.
SUMBANGAN:

Pendidikan

Tun Abdul Razak bin Hussein adalah orang pertama dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia yang ketika itu digelar Menteri Pelajaran. Pada tahun 1955 beliau telah dilantik dan membawa banyak perubahan dalam bidang pendidikan termasuk yang melibatkan sukatan pelajaran dan isu berkaitan Bahasa Melayu.

Sebagai Menteri Pelajaran pertama, Tun Abdul Razak membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Penyata ini yang diumumkan pada 16 Mei 1956 telah digubal dengan tujuan mengubah corak pembelajaran murid-murid. Beberapa perkara yang terkandung di dalamnya adalah untuk menyelaraskan sukatan pelajaran semua aliran sekolah di negara ini serta mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan serta menyemarakkan keharmonian kaum sejak dari peringkat kanak-kanak lagi.

Sejak perlantikan beliau juga, Tun Abdul Razak telah membina sejumlah 3,000 buah sekolah serta tiga juta orang dewasa yang buta huruf telah dapat membaca dan menulis melalui Kelas Dewasa.

Ekonomi

Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1971 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Beliau dan "generasi kedua" ahli politik Melayu melihat begitu perlunya penyelesaian perbezaan jurang ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh mangsa perkauman.

Semasa kepimpinan Tun Abdul Razak, melihat perubahan terhadap penyertaan Bumiputra didalam sektor ekonomi secara lebih pesat khususnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan. Setiap pembangunan yang pesat ini adalah mendapat sokongan padu serta usaha oleh Tun Abdul Razak sendiri.

Pembangunan Luar Bandar

Tun Abdul Razak juga amat menitikberatkan kemajuan luar Bandar. Beliau menganggap apa yang penting dalam sistem demokrasi ialah keseimbangan social dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan Negara. Oleh itu, beliau banyak menyumbang pembangunan didalam sektor ini. Sejajar itu, beliau digelarkan Bapa Pembangunan Malaysia.

Antara sumbangannya ialah Buku Hijau peringkat kebangsaan telah dilancarkan pada 20 Disember 1974. Rancangan Buku Hijau ini menumpukan perhatian kepada penggunaan tanah yang sepenuhnya, tanaman jangkapendek (selingan dan bukan selingan), perkebunan cara berkelompok, rancangan ternakan, rancangan pelihara ikan air tawar, pemasaran yang baik dan projek-projek kecil.

Matlamat rancangan ini ialah menambahkan pengeluaran bahan-bahan makanan supaya cukup untuk keperluan negara, menambahkan pendapatan rakyat luarbandar sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi dan kerjasama rakyat, wakil rakyat dan pegawai kerajaan supaya lebih cergas melibatkan diri dalam usaha- usaha pembangunan.

Pada tahun 1960, Tun Abdul Razak juga memperkenalkan Buku Merah yang mengandungi berbagai projek pembangunan tiap Daerah yang terdapat di Bilik Gerakan Negeri dan Daerah di seluruh Negara. Buku ini juga menjadi panduan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam menggerakkan pembangunan luar bandar seperti pembinaan jalan, parit, surau, klinik, kelas dewasa, perkhidmatan telefon dan sebagainya. Melalui usaha ini juga, maka terbentuk pelbagai agensi kerajaan untuk mencapai matlamat itu termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Negeri-negeri.

Perhubungan Antarabangsa

Dasar luar Malaysia adalah kesinambungan kepada dasar dalam negeri bertujuan untuk menjaga dan mengekalkan keselamatan, keharmonian, kesejahteraan ekonomi dan lain-lain kepentingan-kepentingan negara.

Di bawah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, Malaysia mula memberi penekanan kepada dasar berkecuali (non-aligned) dan telah menjadi ahli Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1970. Beliau menggesa agar Malaysia mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira kefahaman dan ideologi. Hubungan diplomatik dijalinkan dengan China dan negara-negara Indochina di samping meningkatkan kerjasama ASEAN. Pada masa yang sama, Malaysia memberi penekanan kepada konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan South East Asia Nuclear Weapon Free Zone (SEANWFZ).

Selain itu, semasa kepimpinan Tun Abdul Razak juga, Malaysia telah menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan mula dikenali sebagai sebuah “negara Islam”. Semangat ingin berbaik-baik dan mencari rakan baru pada masa itu juga telah merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Beliau turut menggalakkan pelaburan selain daripada sumber-sumber British.

Saat-Saat Akhir

Sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap Agama, Bangsa dan Negara beliau tetap setia memberi yang terbaik demi kesenangan generasi yang akan datang. Tiada siapa mengetahui bahawa tahun-tahun akhir kehidupannya, Tun Abdul Razak tetap mengerah keringat menyumbang buah fikiran serta perubahan sekalipun kondisi kesihatan beliau kerap terganggu. Tun Abdul Razak tetap menjalankan tugas hingga ke saat akhir.

Tanggal 14 Januari 1976 bersamaan 11 Muharam Tun Abdul Razak telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 6.30 petang waktu Semenanjung di London. Berita kematian beliau di London mengejutkan rakyat seluruh Negara. Kematian beliau disebabkan oleh penyakit acute leukemea yang menyerang beliau beberapa minggu lalu.
Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dimakamkan di Makam Pahlawan Masjid Negara di sebelah makam sahabat karibnya, Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman pada 16 Januari 1976. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

AL –FATIHAH

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana