Sultan Selangor dukacita ada Melayu sanggup persoal hak istimewa bangsa sendiri

KUALA SELANGOR, Sabtu –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacitanya apabila orang Melayu sendiri sanggup mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Titah baginda, tindakan segelintir pihak itu seolah-olah menggadaikan maruah bangsa Melayu dan agama Islam yang akhirnya merugikan bangsa sendiri.

“Beta amat dukacita kerana ada segelintir orang Melayu Islam sendiri sanggup mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Masjid Puncak Alam semalam, lapor Bernama.

Selain itu baginda menasihatkan agar orang Melayu berusaha untuk mengelakkan perbalahan sesama sendiri yang boleh mencetuskan unsur porak peranda serta imej buruk kepada kesucian agama Islam.

“Mereka khususnya rakyat negeri Selangor perlu sentiasa berhati-hati dengan anasir luar yang boleh memecah belahkan perpaduan umat Islam.

“Perkara itu dilihat telah banyak berlaku dan jika dibiarkan, orang Melayu Islam tidak dapat terus menguasai pemerintahan negara dan kemungkinan akan luput menjadi sejarah,” titah baginda lagi.

Dalam masa yang sama, baginda turut melahirkan rasa kurang terhadap sesetengah pihak yang menggunakan masjid untuk berpolitik, berceramah tidak mengikut garis panduan ditetapkan serta mempengaruhi umat Islam ke arah yang meragukan dan  menyesatkan.

“Beta difahamkan negeri Selangor menjadi tumpuan kumpulan ajaran sesat maka Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan seluruh umat Islam diingatkan sentiasa berwaspada mencegah perkembangan ajaran ini,” titah baginda.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana