Sikap pemurah tak bertempat...Bila Amalkan Mereka Ini Bertambah Lagi

ORANG kita terkenal pemurah dan cepat simpati. Tidak kira puasa, musim raya atau bulan-bulan lain, hati kita mudah kesian apabila melihat orang menadah tangan meminta sedekah.

Lebih tersentuh perasaan kita sekiranya yang meminta sedekah itu memangku atau menggendong seorang bayi. Dan langsung tidak kedekut kita apabila yang meminta sedekah itu ialah kanak-kanak bawah umur.

Pada kita apalah RM1, hendak beli nasi lemak pun tidak cukup. Tetapi bagi si pengemis, yang RM1 itu boleh terus diraih dan dikumpul.

Bayangkan sekiranya setiap hari seratus orang memberi hanya RM1, pengemis berkenaan akan mendapat RM100 sehari. Itu bererti RM900 sebulan, lebih daripada gaji minimum pekerja biasa.

Tidak payah buat kerja berat, hanya duduk bawah jejantas, atau bersandar di kaki lima pun boleh dapat RM900 – mungkin lebih – sebulan. Orang kita memang pemurah.

TIDAK disedari sikap pemurah kita telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang lebih cerdik. Seperti yang diakui ramai ada sindiket yang mendalangi kegiatan mengemis dan memungut derma yang semakin berleluasa sekarang.

Pihak sindiket mengarahkan wanita, termasuk pendatang asing, dan kanak-kanak mengemis di tempat-tempat awam seperti masjid, tempat letak kereta, stesen bas, R&R di lebuh raya dan medan selera.

Ada juga sindiket menggunakan kanak-kanak dan remaja – kononnya dari sekolah agama, madrasah dan rumah anak yatim – untuk mengutip derma. Konon duit derma akan digunakan untuk sekolah dan rumah anak yatim.

Ada yang bertanya, mengapa murid-murid sekolah dan anak yatim digunakan untuk memungut derma, tidakkah ini satu penderaan? Ada juga yang menyiasat dengan menelefon nombor yang diberi oleh pemungut derma (ternyata nombor palsu).

Tetapi lebih ramai yang tidak bertanya apa-apa, juga tidak menyiasat, sebaliknya terus menghulurkan derma atas alasan ‘apalah RM1’...
Orang kita memang pemurah. Kerap pula pemurah itu tidak bertempat!

BIASA juga kita temui saudara baru @ mualaf, berketayap dan bersila di atas tikar di surau R&R. Di hadapannya ada kotak untuk mengutip wang dari jemaah yang singgah bersolat.

Dengan wajah selamba, dia berjaya meraih simpati ramai jemaah. Tidak salah menghulurkan seringgit dua kepadanya.

Dalam pada itu selalu saya bertanya dalam hati, mengapa pihak berwajib membiarkan saudara baru ini meminta sedekah? Apakah ini imej yang hendak digambarkan kepada orang yang masuk Islam.

Tetapi, orang kita tidak ambil pot semua itu. Bagi mereka ada orang memerlukan bantuan, dan kita yang mampu perlu membantu seikhlas mungkin, tanpa banyak soal. Orang kita memang pemurah!

SIKAP pemurah tidak bertempat ini mungkin penyebab semakin ramai pengemis di tempat kita, dan makin ramai orang memungut macam-macam derma di R&R dan di kawasan masjid setiap hari Jumaat.

Jakim kata orang tidak boleh memungut derma sesuka hati, ada peraturan. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha kutipan derma juga tidak boleh dilakukan oleh orang perseorangan sebaliknya kebenaran hanya diberi kepada wakil yang dilantik dari mana-mana institusi atau organisasi.

Mengenai pengemis, beliau berkata: “Kita tidak mahu orang luar melihat Islam adalah agama mengemis dan meminta-minta.”

Dalam nada yang sama Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui ada sindiket mengambil kesempatan atas sikap pemurah masyarakat Malaysia.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mengingatkan orang ramai supaya memeriksa dahulu latar belakang pengutip derma yang menggunakan nama-nama madrasah yang diwakili bagi tujuan bersedekah.

Pendek kata, jangan menderma dan memberi sedekah tanpa usul periksa, takut-takut derma dan sedekah kita masuk ke kantung orang lain.

AKHIR kalam, Datuk Seri Hassan Malek berkata pihaknya telah menggempur premis-premis di kawasan segi tiga emas di KL, termasuk Plaza GM, Chow Kit, Plaza Kota Raya, Plaza Low Yat dan Plaza Pudu, bagi mengesan penjualan barang tiruan. Hasil serbuan, banyak yang palsu terbongkar. Selain telefon bimbit, ada banyak lagi jenama-jenama terkenal telah dipalsukan.

Tidak kira di desa, lebih-lebih lagi di kota, hidup kita memang penuh kepalsuan..

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana