PAS dan DAP: Bercerai tapi masih sebumbung...pelik bunyinya plak

Sudah bercerai tapi masih tinggal serumah... itulah kesimpulan mudah hubungan antara PAS dan DAP kini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata tidak ada sebarang arahan dikeluarkan untuk ahli-ahli PAS di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meletak jawatan meskipun Majlis Syura Ulamak semalam meluluskan secara rasmi pembatalan tahaluf siyasi dengan DAP.

Menurutnya pendirian yang sama juga diambil terhadap ahli-ahli PAS yang memegang jawatan di dalam kerajaan Selangor.

"Setakat ini keputusan kita perlantikan politik itu kekal. Dalam konteks kerajaan Pulau Pinang, pada pandangan kita ia bukan kerajaan mutlak DAP. PAS dan PKR ada di dalam kerajaan. Malah Ketua Menteri Pulau Pinang sebut bahawa kerajaan Pulau Pinang mengandungi PAS-PKR-DAP.

"Pada kita, walaupun hubungan sudah putus, PAS tidak perlu mengarahkan ahli-ahli PAS yang memegang jawatan kena letak jawatan. Namun terpulang kepada kerajaan negeri apa yang mereka nak lakukan dengan perlantikan politik.

"Selagi parti itu dianggap berada di dalam kerajaan sebagai parti yang menyokong kerajaan, maka kita masih lagi bersama," ujarnya.

Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS malam tadi yang secara rasminya membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Menurut Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, tindakan selanjutnya daripada kata putus itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Bagaimanapun kerjasama PAS dan PKR masih diteruskan seperti sedia kala.

Sementara itu, Takiyuddin ketika diminta mengulas reaksi Jawatankuasa PAS Pusat dalam hal ini berkata, tindakan itu bergantung kepada kesesuaian masa dan keadaan selepas ia dibincangkan dengan kepimpinan tertinggi parti.

"Saya masih menunggu surat daripada Setiausaha Majlis Syura Ulamak untuk kita ambil tindakan secara rasmi. Keputusan itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Ogos nanti.

"Jika perlu ambil tindakan segera, kita akan lakukan segera. Jika tidak tunggu hingga mesyuarat akan datang," katanya.

Takiyuddin sekali lagi menegaskan DAP yang memulakan dahulu langkah membatalkan hubungan dengan PAS selepas mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya percaya DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS. Bukan setakat dengan Presiden, sekarang dengan PAS secara keseluruhannya berdasarkan kenyataan Setiausaha Agungnya. Jadi keputusan Majlis Syura Ulamak ini tepat kerana keadaan sudah berlaku dan sudah terputus," tegasnya.

DAP sebelum ini kerap menyerang PAS dan Hadi rentetan tindakan parti Islam itu mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

DAP bertegas ia tidak boleh dilakukan memandangkan hudud bukan sebahagian daripada kesepakatan bersama di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Kecewa dengan tindakan PAS Kelantan meluluskan pindaan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Mac lalu dan tindakan Hadi membawa usul rang undang-undang persendirian itu ke Parlimen tanpa mendapat kesepakatan PR, DAP bertindak drastik memutuskan hubungan dengan Presiden PAS itu.

PAS pula, menerusi Muktamarnya pada Jun lalu meluluskan usul membatalkan hubungan dengan DAP ekoran serangan dan kecaman tanpa henti yang diterima daripada parti itu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana