Jangan berhutang sebab nak sambut hari raya...Peganglah Kata kata Ini

Hanya kira-kira 10 hari menjelang Aidilfitri. Pemandangan di pusat membeli-belah menyaksikan umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Tatkala berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di ibu kota baru-baru ini, kemeriahan menyambut kedatangan 1 Syawal kian terasa apabila lagu-lagu raya berkumandang manakala ruang legar dihiasi dengan pelbagai dekorasi indah yang menarik perhatian para pengunjung, antaranya sebuah replika rumah Melayu tradisional, lampu pelita dan replika ketupat palas.

Bagi menyemarakkan mood perayaan, pelbagai promosi hebat dengan potongan harga rendah ditawarkan kepada para pengunjung untuk membeli-belah.

Sedar atau tidak promosi-promosi seperti inilah yang menjadi 'perangkap' dan membuatkan seseorang individu itu teruja mahu membeli, setiap kali terlihat potongan harga rendah dan akhirnya berbelanja melebihi daripada kemampuan diri.

Lebih membimbangkan apabila ada yang sanggup berhutang untuk tampak mewah demi menyambut Hari Raya nanti, bak kata pepatah Melayu 'biar papa asal bergaya'.

Persoalannya perlukah seseorang itu berhutang semata-mata untuk menyambut perayaan?

TIDAK PERLU BERHUTANG

Mengupas persoalan itu, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata masyarakat di Malaysia memang gemar berbelanja berlebihan terutama di musim perayaan malah ada yang sanggup berhutang untuk menyambut Hari Raya.

Beliau berkata antara kesilapan yang sering dilakukan oleh masyarakat ialah mengutamakan perbelanjaan semasa tanpa melihat kepada keperluan dan kepentingan untuk berbelanja di masa hadapan.

"Mengapa kita perlu mengikat perut dan bersusah-payah selepas musim perayaan dek kerana semuanya telah dibelanjakan ke arah persiapan menyambut Hari Raya? Kita tidak boleh salahkan peniaga, pusat membeli-belah dan iklan semata-mata, sekiranya kita sendiri tidak merancang dan persiapan terutama daripada aspek kewangan," katanya kepada Bernama.

Natijahnya, Mohamad Fazli berkata ramai akan berbelanja lebih daripada keperluan dan kemampuan kewangan yang ada sehingga mereka sanggup berhutang semata-mata ingin memenuhi tuntutan emosi, selera dan nafsu.

Beliau berkata menjelang sahaja musim perayaan banyak tawaran pinjaman peribadi ditawarkan oleh institusi kewangan yang sah dan berdaftar. Bahkan pinjaman peribadi tidak sah dan berdaftar atau yang menyalahgunakan lesen juga tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dengan alasan mereka menyediakan kemudahan pinjaman kewangan bagi mereka yang memerlukan.

"Masyarakat dimomok dengan pelbagai strategi pengiklanan bagi menarik pengguna untuk mendapatkan pinjaman peribadi ini antaranya kadar faedah yang rendah, kelulusan 100 peratus, pelan bayaran yang fleksibel, tempoh kelulusan dalam masa 24 jam dan pelbagai hadiah sampingan lain lagi," katanya.

BAJET RAYA

Bagi memastikan seseorang individu itu tidak berbelanja lebih di musim perayaan Mohamad Fazli berkata perkara utama yang harus diberi perhatian adalah meneliti kedudukan kewangan semasa dan mengetahui jumlah pendapatan yang boleh dibelanjakan oleh mereka.

"Ini bermaksud daripada jumlah ini berapa banyak yang diperuntukkan untuk simpanan bulanan (sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan kasar). Biasanya, menjelang musim perayaan pihak kerajaan dan agensi swasta menyediakan sedikit bantuan kewangan atau bonus raya sebagai tanda keprihatinan membantu pekerja untuk membuat persiapan raya.

"Amaun yang diterima itu juga harus dimasukkan dalam penyediaan rancangan perbelanjaan (bajet) raya, bagi memudahkan perancangan perbelanjaan boleh dikategorikan kepada dua iaitu pebelanjaan bulanan secara tetap dan perbelanjaan bulana secara berubah. Perbelanjaan berubah bagi musim perayaan biasanya berbeza berbanding bulan-bulan biasa kerana terdapat peruntukan lebih untuk pakaian, makanan, kenderaan, perumahan termasuk duit raya," katanya.

Justeru, beliau berkata sangat penting untuk menyenaraikan berapa banyak peruntukan bagi setiap barangan dalam perbelanjaan berubah dan menyusun mengikut keutamaan daripada perbelanjaan paling penting kepada kurang penting atau perbelanjaan yang boleh ditangguhkan.

Selain itu, bandingkan bajet raya tahun ini dengan tahun sebelum ini dan pelajari kesilapan bajet terdahulu untuk merancang perbelanjaan yang lebih baik.

Mohamad Fazli juga berkata sekiranya masyarakat mematuhi bajet yang disediakan serta disiplin dalam berbelanja, mereka tidak berhadapan dengan sebarang masalah.

"Biasanya, bajet musim perayaan mereka lebih berbanding bulan biasa. Perkara paling utama yang harus diberi keutamaan bajet selepas Hari Raya adalah untuk melunaskan hutang atau pinjaman yang dibuat atau tertangguh termasuk hutang kad kredit, pinjaman peribadi, perumahan dan kenderaan.

"Cuba cari cara bagaimana pinjaman atau hutang itu dapat dilangsaikan secepat mungkin sama ada pinjam daripada pasangan atau ahli keluarga (pinjaman tanpa faedah). Mesti ingat, hutang kad kredit yang dibayar secara minimum dan bayaran pinjaman tertangguh biasanya akan dikenakan caj lewat bayar," katanya.

UBAH CARA BERBELANJA

Beliau berkata 'tabiat berbelanja' masyarakat juga perlu berubah mengikut situasi ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.

Mohamad Fazli berkata membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim perayaan adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan akan tetapi yang menjadi masalah adalah mereka tidak membuat perancangan kewangan walaupun ramai sedia maklum ia adalah sesuatu langkah yang baik.

Katanya pengetahuan tentang kepentingan menyediakan bajet ada namun amalannya masih lagi rendah kerana tanggapan kebiasaan masyarakat raya hanya setahun sekali.

"Saya berpendapat aktiviti menyediakan bajet ini menjadi amalan dan tabiat semua orang dan bukan hanya tertumpu pada musim perayaan sahaja dan tidak kira latar belakang sosio-ekonomi (kaya, sederhana atau miskin).

"Sebagai pengguna, kuasa beli dan pilihan adalah di tangan kita sendiri maka hanya kita yang perlu merencanakan persiapan dan perbelanjaan untuk menyambut kedatangan Syawal," katanya.

Mohamad Fazli berkata berkata masyarakat perlu menyediakan bajet raya yang realistik dan mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan bersedia untuk berubah daripada segi gaya hidup dan cara berbelanja, serta mengutamakan kesederhanaan.

"Saya cadangkan agar individu dan keluarga mula membuat persiapan Aidilfitri lebih awal misalnya antara satu hingga tiga bulan sebelum Ramadan bagi pembelian yang kecil manakala persiapan yang lebih lama enam hingga 12 bulan melibatkan pembelian jumlah yang besar.

"Ini bertujuan memberikan masa yang cukup kepada pengguna membuat simpanan dan melakukan perbandingan daripada segi kualiti, kuantiti dan harga," katanya.

PERSIAPAN AWAL

Sementara itu, seorang penjawat awam Nur Hidayah Abd Ghani, 29, berkata membuat bajet bagi persiapan hari raya amat perlu dan membantu dirinya untuk berbelanja secara bijak.

"Saya tidaklah beli segalanya baharu, kalau ada pakaian yang masih elok dan masih boleh dipakai saya pakai...cukuplah dua helai baju raya untuk saya selebihnya saya utamakan kepada anak-anak," kata anak kelahiran Batu Gajah, Perak yang akan menyambut Aidilfitri di rumah mentuanya di Raub, Pahang.

Nur Hidayah berkata dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi perbelanjaan Aidilfitri tahun ini lebih sederhana dan tidak berlebih-lebihan, di samping membuat biskut raya sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana