Bermaafan bukan sekadar di Facebook dan telefon bimbit

Aidilfitri merupakan hari yang ditunggu oleh seluruh umat Islam. Kehadirannya dianggap suatu kemenangan, setelah sebulan berpuasa bagi umat Islam yang baligh dan berakal selesai dilaksanakan.

Pada hari pertama Syawal umat Islam diharamkan berpuasa, malah diarahkan bergembira, dengan memakai pakaian yang indah, menggunakan haruman yang semerbak wanginya dan diperintahkan berkumpul dengan mengingati ALLAH dengan takbir, tahmid dan tahlilnya sebagai mensyukuri pengembalian kepada fitrah secara beramai-ramai.

Imam Besar Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abd Aziz berkata, kerana kalimah 'fitri' itu sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan seorang Muslim selama sebulan menempuh Ramadan yang akhirnya mengembalikan dirinya kepada fitrah sebenar, di mana fitrah asal sebenarnya adalah suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada noda dan dosa.

“Fitrah yang membawa pengertian akan kejernihan hati, selepas sebulan membersihkannya daripada dosa dan mazmumah kemudian menyuburkannya dengan amalan-amalan rohani.

“Maka sesungguhnyalah Aidilfitri adalah hari di mana ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadan,” katanya.

Menurutnya, Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu pada Ramadan telah berjaya, namun bukan bererti perjuangan tersebut berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang Ramadan wajar diteruskan dan amalan yang haram adalah ditegah.

Namun dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat Islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Bimbang bertukar jadi hari kumpul dosa

“Ini kerana dibimbangi, hari raya yang dijadikan oleh ALLAH SWT sebagai anugerah kerana kejayaan hambanya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan, bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang Ramadan,” katanya.

Aizi Saidi berkata, ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan memerlukan, dan amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat serta rezeki dikurniakan ALLAH.

Selain itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya, perlu dielakkan campur aduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman.

Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku, dan perkara-perkara maksiat yang ditegah mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama.

“Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah.

“Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira, tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan ALLAH SWT," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kegusaran berhubung amalan ziarah-menziarahi yang semakin berkurangan kini, sedangkan pada waktu inilah masa yang sesuai untuk saling bermaaf-maafan antara satu sama lain, sama ada jiran tetangga, mahupun sanak-saudara yang dekat mahupun jauh.

"Tetapi generasi hari ini bermaaf-maafan menggunakan laman sosial sama ada WhatsApp dan juga Facebook.

“Sebab itu, di hari raya masing-masing sibuk dengan telefon di tangan juga. Sedangkan amalan bermaaf-maafan adalah dengan sentuhan ‘spritual’ dalaman,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana