Rakyat derita, rumah murah tiada, kerajaan PR tak mahu kerjasama

Pengundi Permatang Pauh perlu menghantar mesej jelas kepada Pakatan Rakyat (PR) atas sikap kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mahu bekerjasama dalam pembinaan rumah mampu milik, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata kerajaan negeri pimpinan DAP sengaja melewatkan kelulusan pembinaan rumah berkenaan walaupun JKP dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang dipertanggungjawabkan projek itu cuba menyelesaikan isu berbangkit.

"Pada pandangan saya, kerajaan negeri DAP/PR seolah-olah sengaja melambatkan kelulusan walaupun JKP dan Perda bersikap penuh berhemah dalam menyelesaikan segala isu atau kebimbangan yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri DAP/PR.

"Surat dihantar dan permohonan untuk bertemu dikemukakan oleh JKP dan Perda. Tiga tahun berlalu, kelulusan belum juga diberi.

"Selepas beberapa tahun ‘merayu bagi pihak rakyat Pulau Pinang', JKP dan Perda akhirnya dapat menemui pihak kerajaan negeri DAP/PR pada Disember tahun lalu. Seperti diduga, kerajaan negeri mengubah peraturan bagi pelaksanaan projek perumahan oleh JKP dan Perda," katanya menerusi satu kenyataan.

Rahman berkata demikian dalam kenyataan balasnya terhadap Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, yang mendakwa beliau tidak berani bersemuka dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berhubung isu perumahan mampu milik di negeri itu.

Rahman berkata sudah 5 bulan berlalu tanpa apa-apa jawapan daripada kerajaan negeri.

"Saya beranggapan, dengan mengambil alih peranan kerajaan tempatan menerusi Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng, keadaan akan menjadi lebih mudah. Saya tersilap," katanya.

Memetik laporan The Malaysian Insider, beliau menyeru pengundi Permatang Pauh memberi isyarat jelas menunjukkan mereka "sudah jemu dan tiada masa melayan kerenah mengarut kerajaan negeri".

"Pengundi perlu menyatakan suara hati mereka kepada kerajaan negeri DAP/PR menerusi pilihan raya kecil ini.

"Saya meminta pengundi Permatang Pauh memberi ‘pengajaran politik’ kepada kerajaan negeri DAP/PR dalam pilihan raya kecil ini supaya pemimpin seperti Tony Pua dan Lim Guan Eng terjaga daripada bulan madu yang berlanjutan selama 7 tahun dalam menguruskan Pulau Pinang," katanya.

Semalam, Pua berkata Rahman mengetahui hal sebenar mengapa permohonan Perda dan JKP ditolak.

Katanya, dua agensi itu memasukkan projek pembangunan hartanah sehingga RM1.8 juta di pulau dan RM800,000 di tanah besar melebihi harga rumah mampu milik yang sepatutnya kurang RM400,000 di pulau dan RM250,000 di tanah besar.

Rahman bagaimana pun menafikan dua agensi itu berdasarkan keuntungan, dan berkata pulangan tahunan menunjukkan mereka tidak mendapat keuntungan sejak ditubuhkan dengan hanya mencatat kira-kira RM2 juta "pada tahun yang baik" walaupun mengeluarkan modal besar.

Mereka turut mencatat kerugian besar dalam tempoh 15 tahun dengan membina lebih 20,000 unit rumah mampu milik, sehingga mencecah RM20 juta dalam beberapa projek, katanya.

Rahman juga menolak dakwaan Pua mengenai rumah banglo berharga RM1.8 juta seunit dan berkata hanya 20 unit dibina.

"Ini kebenarannya: hanya 20 unit banglo akan dibina. Angka itu tidak relevan berbanding 9,500 unit rumah mampu milik yang akan dibina JKP dan Perda. Kebanyakan banglo ini adalah rumah rehat mirip pusat peranginan yang akan disewa sebagai rumah rehat korporat. Unit-unit ini tidak akan dijual," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana