Calon muda diarak bagai pengantin punca Umno dan PAS kalah PRK

Pilihan raya adalah bak peperangan. Ia memerlukan strategi yang baik dan profil calon yang tidak dibebani pelbagai bagasi politik. Calon-calon yang bertanding mestilah bersih daripada sebarang kedurjanaan seperti rasuah dan skandal lain.

Dalam musim pilihan rayalah pakar-pakar strategi dan komunikasi diperlukan demi membina persepsi dan imej yang baik tentang calon.

Bagaimanapun tidak semua strategi yang baik boleh menjamin kemenangan jika ia tidak dilaksanakan dengan betul, bertepatan dengan masa, sesuai dengan iklim dan persekitaran politik semasa serta serasi dengan karisma calon.

Dalam pilihan raya kecil Rompin pada Selasa dan Permatang Pauh Khamis lalu, peri pentingnya kebijaksanaan dan hemah yang tinggi dalam bidang strategi dan taktik membina imej positif calon ini amat ketara.

Calon muda PAS dan Umno BN kecundang

Calon BN, Suhaimi Sabudin adalah pemimpin muda, sasa dan tiada bagasi politik yang negatif. BN nampaknya bertuah dapat mengetengahkannya sebagai calon dan sekaligus menyuntik persepsi proses peremajaan Umno sedang berlaku.

Begitu juga PAS di dalam PRK Rompin. Ia mengemukakan Nazri Ahmad – muda, zuhud, berilmu dan kuat bekerja. Ia membayangkan PAS tidak tandus pemimpin ulama muda dan bersedia memikul tanggungjawab besar.

Malangnya, kedua-dua calon muda berkenaan kecundang. Suhaimi kalah pada Wan Azizah yang sudah berusia 62 tahun sementara Nazri pula tewas pada Datuk Hasan Arifin yang juga sudah menjangkau 62 tahun.

Imej Wan Azizah yang kaya pengalaman pahit manis politik amat baik di mata pengundi. Penonjolannya yang menggunakan singkatan Kak Wan melambangkan satu perjuangan besar suaminya seorang bekas Timbalan Presiden Umno yang mahu menumbangkan parti Melayu tertua itu.

Dalam perjuangannya, Anwar Ibrahim menghadapi pelbagai pancaroba, termasuk fitnah dan hukuman penjara. Beliau juga dihukum bersalah kerana jenayah liwat oleh mahkamah. Ini semua menjadi bagasi politik bagi Kak Wan.

Dimensi perjuangan Anwar ada banyak hujah pro dan kontranya. Namun Kak Wan dengan tegas, cergas dan jujur dilihat kental azamnya membela maruah suaminya.

Strategi pilihan raya PKR membuahkan hasil

Bukan soal sentimen atau simpati pada diri dan keluarganya sahaja yang menjadi faktor kemenangan tetapi pemikir dan strategis PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan pasukannya berjaya menonjolkan imej Kak Wan sebagai lambang satu kegagahan.

Naluri insan suka pada yang berani, ikhlas dan zuhud serta tertindas. Kak Wan sinonim dengan perjuangan politik yang luhur dan jujur. Sebaliknya imej Suhaimi yang bersih tidak membawa mesej perjuangan. Beliau cuma calon Umno.

Malangnya, pemuda 40 tahun, yang tiada cemar peribadinya digandingkan dengan Kak Wan dalam gelanggang PRK Permatang Pauh. Waktu terlalu singkat untuk membentuk satu imej ikon politik baru demi menjadi aura Suhaimi.

Begitu juga dengan Nazri di Rompin. Pendedahan pada dunia politik sebenar belum benar-benar meliliti pembabitannya dalam politik. Tiba-tiba beliau perlu bertarung dengan personaliti politik yang sudah dikenali.

Di sini soal strategi menjadi faktor penentu. Di Rompin PAS yakin ia boleh membuat kejutan kerana ia mempunyai senjata ampuh – GST. Begitu juga dengan PKR di Permatang Pauh.

Pengundi Permatang Pauh celik isu nasional

Analisis Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail nampaknya tepat. Bahawasanya tahap penghayatan politik pengundi Permatang Pauh adalah tinggi dan mudah menghadam isu politik nasional.

Justeru percaturannya untuk menumpukan pada isu-isu nasional seperti kontroversi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), prestasi lemah kerajaan persekutuan, dan skandal 1MDB daripada melayan isu tempatan, berkesan.

Kak Wan Azizah menang dengan majoriti yang agak selesa. Sungguhpun ia menyusut sedikit, namun undi  Suhaimi Sabudin pun merosot juga berbanding pencapaian calon BN dalam PRU 13.

Ini menjadikan majoriti Wan Azizah bertahan pada 8,841 turun daripada kira-kira 11,000 undi yang dimenangi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya umum ke-13 Mei 2013.

Pengundi Permatang Pauh akur memang tidak banyak pembangunan sampai ke kawasan mereka sejak pilihan raya 1999 apabila Wan Azizah pertama kali menang kerusi parlimen itu.

Namun itu tidak mengalih fokus mereka pada isu-isu politik nasional sebagai sumbangan mereka pada menghidupkan konsep demokrasi dan pendemokrasian hak politik rakyat.

Saifudin dan pasukan perancang pilihan rayanya maklum akan psikologi pengundi Permatang Pauh dan menyerang bertubi-tubi isu GST. 1MDB tanpa perlu mengikut rentak lawan yang bertumpu pada isu pembangunan belaka.

Keputusan PRK P044 itu juga memberi sedikit harapan bahawa PKR kini akan lebih stabil tanpa kehadiran Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim. Kerisauan jika senario Azizah kalah akan menggoncang kestabilan parti dapat dikendurkan.

Kejayaan Azizah itu juga akan merencatkan angan-angan mana-mana personaliti PKR yang berkira mahu mencabar kedudukan Azizah dalam pemilihan parti itu tahun depan. Ini akan membantu PKR dalam persiapan PRU ke 14.

PRK kali ini serlahkan pengaruh golongan profesional dalam PAS

Lebih penting lagi kesan kemenangan Azizah sedikit sebanyak membantu mengukuhkan kedudukan kumpulan profesional dalam PAS dalam usaha mereka mencabar dominasi ulama dalam parti dalam pemilihan tiga minggu lagi.

Ketekalan golongan profesional yang diketuai Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkempen di PRK Permatang Pauh berhasil memujuk penyokong PAS tidak terdorong pendirian pemuda PAS mahu memboikot Wan Azizah.

Meskipun dalam proses pencalonan untuk pemilihan PAS pemimpin-pemimpin ulama jauh lebih tinggi berbanding golongan profesional, rekod di PRK Permatang Pauh pasti menanamkan keyakinan di kalangan ahli PAS bahawa profesional masih mampu menunjukkan prestasi politik yang tinggi.

Namun pada keseluruhannya jentera PRK PAS di Rompin yang dikendalikan ulama, kurang berhasil menggarap isu-isu nasional seperti GST, 1MDB dan prestasi longlai kerajaan BN kini dengan baik dan berkesan seperti PKR di Permatang Pauh.

Isunya sama tetapi hasilnya berbeza di Rompin dan Permatang Pauh. Ini PAS harus ambil iktibar.

Di samping itu baik Umno mahupun PAS, usaha untuk mengenengahkan pemimpin muda memang baik. Bagaimanapun calon seperti Suhaimi mestilah diberi kursus khas untuk menjawab isu-isu yang dilontarkan oleh PKR.

Begitu juga Nazri. PAS seharusnya mengusungnya ke tengah gelanggang untuk mempertikaikan  GST dan 1MDB. Sebaliknya mereka diarak PAS dan Umno di keliling kawasan Parlimen bak pengantin baru.

Apapun syabas pada PAS dan Umno kerana mampu dan berani mendedahkan pemimpin-pemimpin muda mereka pada erti peperangan politik sebenarnya.

Namun PAS dan Umno juga harus mempunyai program peremajaan parti yang lebih konkrit. Pemimpin muda mereka mestilah digiring oleh ahli-ahli muda yang direkrut untuk menjadi pengundi dan juga penyokong parti.

Tingkatkan pendaftaran pengundi baru. Tentu langkah ini akan ada banyak manfaat politiknya.  

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana