Kalau Kerajaan Lambat Menyelamat, Mungkin Kami Sudah Tiada...Itu Pun Ada Yang Kata Kerajaan ZALIM Lagi

SEPANG 16 April – Tindakan pantas kerajaan membawa keluar pelajar Malaysia dari Aden, Yemen berjaya menyelamatkan 67 nyawa apabila masjid yang menjadi kawasan perlindungan mereka itu dibom selang beberapa jam proses pemindahan dilaksanakan.

Pelajar tahun pertama Madrasah Ribat Al-Idrus Mohd. Luqmanulhakim Zulkifli, 16, berkata, keadaan tegang di Aden amat luar biasa, kesemua pelajar berada dalam keadaan bersedia untuk sebarang kemungkinan termasuk mencari kawasan perlindungan lain.

Dia berkata, ketibaan pasukan penyelamat Malaysia ke kawasan perlindungan di salah sebuah masjid di Aden amat menggembirakan kesemua pelajar, selepas itu ke­semua pelajar dibawa menaiki bot ke Djibouti, Afrika sebelum diterbangkan ke Jeddah, Arab Saudi.

“Kami berlindung di dalam salah sebuah masjid di Aden selama tiga minggu, sepanjang berada di situ kami terpaksa mengikat perut dan bekerjasama untuk memasak apa sahaja yang ada, selepas bekalan terputus kami hanya memakan nasi berlaukkan bawang.

“Kalau kerajaan lambat hantar pasukan penyelamat mungkin kami semua sudah tiada, bayangkan selepas kami dibawa keluar masjid yang menjadi kawasan perlindungan dibom, pergolakan kali ini amat dahsyat berbanding tahun lalu,” kata pelajar jurusan Syariah Islamiah itu kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kumpulan pertama 42 pelajar Malaysia dari Aden itu tiba di KLIA dengan menaiki pesawat Emirates EK804 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pukul 3.18 petang ini, manakala kumpulan kedua seramai 25 pelajar pula tiba kira-kira pukul 6 petang.

Semalam, kesemua pelajar berkenaan dibawa menaiki bot selama 22 jam dari Aden ke Djibouti sebelum diterbangkan ke Jeddah menaiki pesawat Hercules C130 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Mohd. Luqmanulhakim, sepanjang berada di Aden semasa waktu bergolak bunyi bom dan juga tembakan menjadi perkara biasa dan kesemua pelajar terpaksa berkurung bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu seorang lagi pelajar tahun pertama Madrasah Ribat Al-Idrus, Syed Hafiz Syed Mohd. Alwi berkata, pengalaman menaiki bot selama 22 jam dari Aden ke Djibouti tidak akan dilupakannya kerana perjalanan tersebut begitu memeritkan.

“Bot tersebut besar, namun tidak ubah seperti bot nelayan, di atas bot itu kami semua hanya memakan kentang rebus sahaja. Alhamdulillah kami selamat dan situasi tegang yang dialami akan menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup,” katanya.

Menceritakan detik cemas di Aden, Syed Hafiz berkata, menyaksikan bangunan dibom dan pertempuran di kawasan tersebut adalah perkara biasa lebih-lebih lagi pada waktu malam, semua pelajar juga tidak dibenarkan keluar daripada kawasan perlindu­ngan kerana bimbang terkena peluru sesat.

Selain itu, seorang lagi pelajar tahun pertama Madrasah Ribat Al-Idrus, Ahmad Zaidi Abdullah, 16, berkata, ketika pergolakan berlaku di negara itu, dia dapat melihat sendiri jet pejuang melalui ruang udara selain kedengaran bunyi bom dilepaskan sehingga terasa gegaran di tempat perlindungan.

“Malah, bom yang dilepaskan itu sangat hampir dengan masjid iaitu bersebelahan madrasah tempat belajar namun kami bersyukur kepada Allah kerana tiada sebarang kejadian buruk berlaku walaupun sering kedengaran letupan di sana,” katanya.

Dalam pada itu seorang lagi pelajar tahun pertama Madrasah Ribat Al-Idrus,Muhammad Danish Iman Mohamad Azizi, 13, berkata, sepanjang tiga minggu berlindung di dalam masjid, dia sering terdengar bunyi bom dilepaskan tidak mengira waktu. – Utusan Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana