INILAH PR....AHLI PARLIMEN PAKATAN MARAH PUTRAJAYA CUBA LULUSKAN 4 RANG UNDANG-UNDANG

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mengetuai wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) mendesak persidangan ditangguhkan ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Wahid Omar cuba menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan 2015.

"Tidak adil untuk membahaskan 4 lagi rang undang-undang malam ini. Dan kita habis jam 4 pagi. Esok kita ada rang undang-undang yang sangat penting untuk dibincangkan," kata ahli Parlimen DAP itu merujuk kepada pindaan kepada Akta Hasutan yang dijadualkan dibahaskan esok.

"Apa perlunya ia disegerakan? Kita tidak boleh buat begini. Kita tidak boleh membahaskannya. Kita tidak berlaku adil kepada rakyat," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohd Said enggan melayan permintaannya dan meminta Wahid meneruskan ucapan, menyebabkan ahli Parlimen PR lain naik marah dan menuntut mesyuarat dihentikan.

Gobind mendakwa, ia merupakan satu kesilapan apabila kerajaan mahu meredah prosiding bagi memastikan rang undang-undang itu diluluskan malam ini juga.

Pertikaman lidah berterusan dengan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut sama berdiri dan menjawab hujah pemimpin PR, serta berkeras mahukan rang undang-undang selebihnya dibahaskan malam ini.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pembangkang yang Dewan terdahulu hari ini meluluskan usul supaya persidangan tidak ditangguhkan hingga item ke-8 dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Pada ketika itu, Ismail membacakan Peraturan Mesyuarat 42 dan 44, mengugut mengeluarkan dan menggantung Gobind, Ahli Parlimen Batu Tian Chua (PKR), N Surendran (PKR-Padang Serai) dan Charles Santiago (DAP-Klang), sekiranya mereka terus bercakap.

Gobind, bagaimanapun menempelak timbalan speaker itu, memintanya jangan mengugut.

"Jangan ugut saya. Bagi saya, saya tak kisah kalau digantung sekali pun," katanya.

"Tetapi Tuan Speaker, adakah tuan sedar? Orang luar tidak tahu apa rang undang-undang yang sedang dibahaskan ketika ini.

"Kenapa kita perlu teruskannya? Soalan saya ialah, sekiranya tiada asas untuk mempercepatkan rang undang-undang ini, kenapa ia dibuat?" soalnya.

Walaupun ramai di kalangan pemimpin PR yang membantah dan meminta Speaker menggunakan budi bicaranya menangguhkan mesyuarat, Ismail berkata beliau sudah memutuskan untuk meneruskan mesyuarat walaupun beliau memahami ketidakpuasan hati mereka.

Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj memetik Peraturan Mesyuarat 80A mengatakan, meneruskan perbahasan demi hendak meredah sesuatu rang undang-undang secepat mungkin ialah satu penghinaan kepada Parlimen.

"Ada undang-undang hendak diluluskan. Di mana kualiti (perbahasan)? Mereka yang memutuskan untuk membincangkan 8 rang undang-undang hari ini tidak menghormati Parlimen," kata ahli Parlimen Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee yang ketika itu mengambil alih persidangan, juga enggan membenarkan prosiding dihentikan.

Pada jam 11.57 malam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim membuat usul menghentikan jam buat kali kedua dalam minggu ini bagi membolehkan perbahasan diteruskan.

Menghentikan jam ialah prosedur Parlimen di mana badan perundangan secara literal atau anggapan memberhentikan pergerakan jam, biasanya bertujuan memenuhi tarikh akhir Perlembagaan atau berkanun, di mana Parlimen perlu menghentikan hari ia bersidang pada tengah malam.

Pada hari Isnin, Putrajaya menghentikan jam bagi meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) pada pukul 2.25 pagi, mengecewakan ramai pihak pembangkang.

Undi terakhir menyebelahi kerajaan dengan 79 daripada BN yang menyokong dan 60 daripada PR yang membantah, membuatkan orang ramai marah kerana berasa pembangkang boleh mengalahkan rang undang-undang itu jika semua 86 ahli Parlimen PR hadir.

Pada ketika berita ini dikeluarkan, Dewan sedang membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015.

Dewan mempunyai tiga lagi rang undang-undang untuk dibahaskan sebelum mesyuarat hari ini ditangguhkan iaitu Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (Pindaan) 2015. – 8 April, 2015.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana