DAP Memang Biadap Sehingga PAS Bersekongkol.....Rekod hitam Pakatan Perak dengan Istana

Melihat gelagat wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang Perak memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pakaian serba hitam mengingatkan kita kepada “sembah derhaka” yang pernah dilaungkan oleh Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Nizar Jamaludin.
Sejak krisis dalaman yang menyaksikan jatuhnya kerajaan mereka pada 2009, hubungan pakatan pembangkang dengan pihak istana sememangnya amat menyedihkan, termasuklah melibatkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri.

Sebelum itu pun, ketika baru menubuhkan kerajaan pada 2008, pemimpin pembangkang bertelagah sesama sendiri sehingga pemimpin DAP secara terbuka mahu memboikot pelantikan jawatan menteri besar yang diberikan kepada Pas - rakan sekutu mereka sendiri.

Begitu juga, ketika Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengangkat sumpah jawatan pada 2009, pemimpin pakatan pembangkang juga memboikot istiadat berkenaan yang dijalankan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.


Selain itu, siapa boleh lupa pada Mei 2009 apabila mereka bertindak ganas pada hari perasmian sidang DUN yang menyebabkan Sultan Nazrin yang ketika itu pemangku raja terpaksa menunggu berjam-jam sebelum boleh memasuki dewan.

Baginda sendiri ketika itu mengingatkan Nizar dan pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham supaya beradab dan menghormati kehadiran baginda di dalam dewan sebelum dapat bertitah dan seterusnya merasmikan sidang ketika itu.

Kesimpulannya, jika track record mahu dijadikan sandaran, pakatan pembangkang Perak mempunyai rekod yang hitam dari segi sikap dan rasa hormat mereka terhadap istana.

Namun, kalau pun itu sikap pembangkang terhadap institusi raja, wajarkah memilih untuk menunjukkan sikap yang dianggap biadab pada hari pertama kali Sultan Nazrin Shah berangkat mencemar duli merasmikan Sidang DUN sebagai Sultan Perak?

Sultan Nazrin Shah memakai pakaian regalia penuh buat pertama kalinya demi menghormati kemuliaan dewan, namun wakil rakyat pembangkang memilih pakaian hitam seolah-olah berkabung dengan keberangkatan baginda, malah sebahagian besar daripada mereka tidak memakai songkok.

Melalui laporan media, pemimpin pembangkang mendakwa tindakan mereka itu adalah satu protes terhadap beberapa perkara termasuk hukuman penjara ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta hukuman ke atas 13 penyokong mereka yang didapati bersalah bertindak ganas dengan berbaring, membaling dan menghalang kenderaan Sultan Nazrin Shah ketika demonstrasi di pintu masuk Istana Chandan pada 2009.

Bagaimana alasan ini boleh diterima sedangkan hukuman tersebut adalah keputusan mahkamah, malah apa pula kaitannya dengan Sidang DUN Perak? Kenapa hal ehwal yang tidak relevan ini mahu dijadikan alasan untuk bertindak biadab kepada institusi raja?

Kalau begitu terdesak untuk melakukan protes sekalipun, persidangan kali ini dijangka berlangsung selama lima hari. Tidak bolehkah memilih hari persidangan seterusnya yang tidak melibatkan keberangkatan baginda? Selain itu, kenapa protes tidak dibuat di Selangor, negeri pakatan sendiri, di mana DUN Selangor dirasmikan sehari sebelumnya?

Realitinya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selama ini bersikap terbuka dengan pimpinan pembangkang negeri dengan memberikan pengiktirafan kepada pembangkang sehingga melantik mereka dalam beberapa jawatankuasa bersama kerajaan negeri.

Sikap terbuka ini diharapkan agar peranan pembangkang untuk mewujudkan semak dan imbang atau check and balance dapat digilap sekali gus sama-sama membantu melancarkan jentera pentadbiran negeri demi manfaat rakyat.

Keterbukaan ini sewajarnya disambut dengan sikap yang baik agar setiap polisi yang mahu dilaksanakan khususnya di Sidang DUN Perak dapat berjalan dengan penuh adab dan dibahas dengan tindakan bertamadun.

Namun langkah ini nampaknya tidak berkesan. Pembangkang masih berfikiran lama, ganas dan ketinggalan zaman walaupun mereka sendiri sering melaung-laungkan konsep politik matang. Ramai yang menyangka mereka sudah belajar daripada penolakan rakyat akibat sikap biadab mereka selama ini.

Nampaknya telahan tersebut salah dan menyimpang. Mereka bukan sahaja membalas kebaikan dengan sikap permusuhan, malah masih tegar dengan falsafah dan pemikiran politik lapuk yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat.

Sesungguhnya, insiden dalam perasmian Sidang DUN Selasa lalu adalah satu lagi rentetan peristiwa hitam yang dirakamkan dewan mulia itu.  Ini menceritakan bagaimana pemimpin pembangkang khususnya DAP tidak mampu memisahkan diri daripada kelakuan tidak menghormati institusi raja.

Tidak sukar untuk memahami sikap mereka. Bak kata cerdik pandai, jika mahu membunuh pokok, racunkan akarnya. Institusi Raja-Raja Melayu dianggap akar kepada kedudukan agama Islam dan orang Melayu di tanah air kita.

Mungkin dengan meracun “akar” kedudukan Islam dan orang Melayu akan tercabar. Apatah lagi paksi utama pakatan pembangkang, DAP memang dikenali sebagai suara utama dalam mempersoalkan Islam dan Melayu selama ini.-2/4/2015

PENULIS ialah bekas wartawan. Tulisan ini kali pertama disiarkan Utusan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana